50 PERATUS DISKAUN BAYARAN TOL SEMPENA AIDILFITRI

26 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, memutuskan
untuk memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa selama dua hari
sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata diskaun berkenaan akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam pada 28 Mac dan berakhir pada jam 11.59 malam, 29 Mac ini.
Katanya, inisiatif itu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terbabit.
“Diskaun tol ini akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1
sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan
Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan tol
musim perayaan yang diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
“Ia adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Alexander berkata, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.
“Semoga pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan melalui panduan dicadangkan.
“Iaitu mengikut jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) oleh syarikat konsesi lebuhraya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi.
“Pengguna jalan juga disarankan untuk memastikan bateri smart-tag yang mencukupi serta menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia(LLM) https://www.llm.gov.my mengenai keadaan lebuhraya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan.
“Pengguna jalan juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan
semasa di lebuh raya,” katanya.
Selain itu katanya, orang ramai juga digalakkan untuk menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan
dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala
Sehubungan itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan syarikat konsesi
lebuh raya menyeru pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan, serta berehat jika letih atau mengantuk.
“Marilah kita bersama menjaga keselamatan, kebersihan, dan keselesaan lebuh raya serta mengurangkan kemalangan,” katanya.
Kommentare