52.8 tan makanan bazar Ramadan seluruh negara diselamatkan menerusi program MySaveFood

22 Mac 2025
TAWAU: Program MySaveFood menyelamatkan 52.8 tan metrik makanan bernilai RM644,332 di bazar ramadan seluruh negara sepanjang tempoh 20 hari berpuasa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan program berkenaan adalah bagi menangani pembaziran makanan dan seterusnya diagihkan kepada golongan memerlukan.
Katanya, kempen itu digerakkan KPDN menerusi kerjasama strategik dengan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang dilaksanakan di 123 bazar seluruh negara melibatkan 2,138 sukarelawan.
“Program MySaveFood di Sabah bermula di Keningau pada tahun lalu dan kini berkembang ke Kota Kinabalu, Papar, Beaufort dan Tawau dengan penyertaan 65 ahli GPS dari 12 institusi pendidikan tinggi.
“Ianya termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah serta beberapa lagi institusi yang lain.
“Di bazar Sabindo Plaza di sini, ahli GPS dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau, Politeknik Tawau dan Kolej Komuniti Tawau turut ambil serta,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, program ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk mengurangkan pembaziran makanan sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dan mencapai Zero Hunger.
Sementara itu, Dr Fuziah berkata, pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2025 yang memperkenalkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), memberi insentif tanpa tunai kepada peniaga dan pengunjung bazar.
“Sehingga kini, seramai 159,720 pengguna menerima manfaat e-dompet RM20 dan jumlah ini dijangka meningkat menjelang akhir Ramadan,” katanya.
Comments