60,000 Pokok Ditanam Sempena Sambutan Hari Bumi Tuaran 2025
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

22 April 2025
TUARAN: Sebanyak 60,000 anak pokok berjaya ditanam di sekitar daerah ini sempena Sambutan Hari Bumi Tuaran 2025 yang berlangsung hari ini.
Majlis sambutan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii yang turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu masyarakat setempat dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, penganjuran sambutan itu bukan saja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, malah turut menyokong aspirasi kerajaan menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021–2025.

“Penganjuran Sambutan Hari Bumi pada hari ini memperlihatkan komitmen kita terhadap keperluan mewujudkan kesedaran dan mengambil tindakan berkesan terhadap isu alam sekitar yang kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Pusat Kokurikulum Sabah, Kem Malangang Kiulu.
Menurutnya, inisiatif itu turut melibatkan penyertaan pelajar dari 88 buah sekolah di seluruh daerah Tuaran, dalam usaha menyemai nilai cintakan alam sekitar sejak di bangku sekolah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran merangkap Pengerusi Pelaksana program, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sambutan Hari Bumi seharusnya dilihat lebih daripada sekadar acara tahunan atau simbolik semata-mata.
“Sambutan ini merupakan peluang untuk mengetengahkan inisiatif tempatan yang memberi impak besar dalam menangani isu alam sekitar seperti hakisan tanah dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku.
"Justeru sempena sambutan ini, antara usaha utama yang dilaksanakan ialah penanaman tumbuh-tumbuhan tradisional yang bukan saja mampu menahan hakisan malah dapat mengurangkan risiko banjir.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sekadar menanam pokok, tetapi menanam harapan agar alam sekitar lebih terpelihara, dan harapan agar masyarakat setempat turut menerima manfaat secara langsung daripada usaha ini,” katanya.
Dalam pada itu, acara penanaman pokok tersebut juga turut mencatatkan sejarah apabila berjaya dimasukkan ke dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) melalui Acara Penanaman Pokok Baccaurea Lanceolata (Liposu) Terbanyak iaitu sebanyak 8,800 anak pokok.
Sijil pengiktirafan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBOR, Christopher Wong kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.
Selain PPD Tuaran dan JAS, sambutan ini turut dianjurkan dengan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta masyarakat setempat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar; Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pelajaran Negeri Sabah, Datu Asrah Datok Ambas; Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging; dan Pegawai PPD Tuaran, Awang Seman Ag Tahir.
Comments