60 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Tawau
12 January 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
TAWAU: Sekurang-kurangnya 60 rumah atas air jenis tidak kekal dan sebuah masjid di Kg Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, di sini musnah 100 peratus dalam kebakaran yang melibatkan keluasan dua ekar kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, tiga mangsa berusia 14 hingga 49 tahun turut dilaporkan mengalami sesak nafas dalam kejadian itu dan diberikan rawatan oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.46 pagi dan bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman api sebelum berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak pada jam 9.20 pagi.
Katanya, pihaknya turut berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 250 rumah lagi daripada turut musnah dalam kejadian tersebut.
“Pasukan menggunakan sumber air dari jentera dan pili Bomba untuk memadam api kebakaran dengan membentangkan aliran hos antara 500 hingga 600 kaki daripada jentera memandangkan air laut surut,”katanya lagi.
Jemishin berkata, operasi itu melibatkan sembilan jentera dan 55 anggota, termasuk Bomba Komuniti Titingan serta turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Sabah Electricity.
Operasi ditamatkan pada jam 11.20 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi.
Sementara itu, ADUN N.68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang melawat tapak lokasi berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dikenalpasti bagi menempatkan para mangsa terlibat yang kini masih dalam proses pendaftaran.
Beliau melahirkan rasa simpati kepada para mangsa dan berharap mereka bersabar menghadapi ujian di awal tahun 2025 kerana sudah pasti ada yang lebih baik menanti mereka.
Comentarios