top of page
  • nabalunews

652 Pendatang Tanpa Izin Filipina dihantar pulang ke negara asal

6 September 2024


KOTA KINABALU: 652 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menaiki kapal MV Antonia I dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semalam.


PATI terbabit yang terdiri daripada 469 lelaki, 130 wanita dan 53 kanak-kanak serta bayi adalah tahanan di Depot Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau.


Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata ini adalah program pemindahan tahanan PATI siri 13 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024.


"Semua PATI berusia lingkungan dua bulan hingga 76 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


SH Sitti Saleha berkata, seramai 3,118 tahanan warga Filipina dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 2024 menggunakan pengangkutan laut dan udara, menjadikan jumlah besar

seramai 4,809 tahanan warga asing yang dipindahkan.


Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.


Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI

dari semasa ke semasa, selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuat kuasa.

Comentarios


bottom of page