nabalunews
68,502 panggilan diterima melalui talian HEAL, 140 cubaan bunuh diri berjaya diselamatkan
25 November 2024
KUALA LUMPUR: Sejak pelancarannya, Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 telah memainkan peranan penting dalam menangani isu kesihatan mental, dengan sebanyak 68,502 panggilan direkodkan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Daripada jumlah itu, 42,415 panggilan telah menerima bantuan sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Lebih membanggakan, 140 individu yang dikenal pasti melakukan cubaan bunuh diri berjaya diselamatkan melalui intervensi pantas talian ini.
"Talian ini menyediakan perkhidmatan tele-kaunseling yang meliputi sokongan emosi, psiko pendidikan, serta intervensi awal krisis kesihatan mental seperti tingkah laku bunuh diri, kemurungan, kebimbangan (anxiety), serangan panik (panic attack), dan tekanan. Talian ini dikendalikan oleh Pegawai Psikologi dan kaunselor KKM," jelas Lukanisman ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Talian HEAL turut menyediakan khidmat nasihat kepada keluarga atau penjaga pesakit mental, serta sokongan post-vention bagi membantu mereka yang terkesan.
Sebagai usaha memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental di negara ini, kementerian telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), yang berfungsi sebagai agensi peneraju bagi koordinasi program dan perkhidmatan kesihatan mental.
Opmerkingen