7,645 calon ditawarkan pelantikan guru 2024
12 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Kekurangan guru di Sarawak mendapat perhatian khusus apabila seramai 1,372 calon telah ditawarkan pelantikan melalui Pengambilan Khas Sarawak 2024, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau menyatakan usaha ini sebagai sebahagian daripada kejayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mengurangkan kekosongan guru di Sarawak kepada 837 orang, sekaligus meningkatkan kadar pengisian guru di negeri itu kepada 98.06 peratus.
"KPM telah berjaya mengurangkan bilangan kekosongan guru di Sarawak sehingga 837 orang guru yang akan meningkatkan peratus pengisian guru di Sarawak kepada 98.06 peratus. KPM akan berusaha untuk memastikan kekosongan guru ini dapat diatasi dari semasa ke semasa.
"Pada masa yang sama, keutamaan akan diberikan kepada guru kelahiran Sarawak untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, di Dewan Rakyat hari ini.
Setakat November 2024, seramai 13,749 guru baharu telah dilantik secara tetap dan melalui lantikan Contract of Service (CoS) ke sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, termasuk 1,697 guru baharu yang telah ditempatkan di Sarawak.
Melalui pengambilan ini, seramai 7,645 calon berjaya ditawarkan pelantikan guru bagi pasaran terbuka, menunjukkan usaha berterusan KPM dalam mengatasi kekurangan guru dan memperkukuh sistem pendidikan negara.
Comments