top of page
  • nabalunews

70 masjid dan surau terima sumbangan Bank Rakyat sempena Ulang Tahun Ke-70

1 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Bank Rakyat telah menyumbangkan dana berjumlah RM350,000 kepada 70 masjid dan surau di seluruh negara sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-70.


Setiap masjid dan surau yang terpilih menerima sumbangan sebanyak RM5,000 untuk tujuan pengimarahan.


Menurut kenyataan Bank Rakyat, sumbangan ini disampaikan semasa Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat yang diadakan serentak di 70 lokasi pada 28 September lalu. Program tersebut dihadiri oleh wakil Bank Rakyat, ahli jawatankuasa masjid dan surau, serta komuniti setempat.


“Selain dianjurkan bagi mensyukuri pencapaian dan pertumbuhan mampan Bank Rakyat yang kini merupakan bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, program ini juga mencerminkan jalinan silaturahim yang kukuh antara Bank Rakyat dengan pelanggan dan masyarakat.


“Hubungan erat inilah yang menjadi aspirasi untuk Bank Rakyat terus berkhidmat dan memberi impak positif kepada seluruh masyarakat, bukan sahaja daripada aspek perkhidmatan perbankan, malah juga dari sudut pembangunan sosial melalui aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat,” ujar Bank Rakyat dalam kenyataan itu.


Bank Rakyat berharap sumbangan ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dan terus mengeratkan hubungan antara institusi kewangan tersebut dengan komuniti.

Comments


bottom of page