top of page

709 PATI Filipina Dihantar Pulang

nabalunews


28 Mac 2025


KOTA KINABALU: Seramai 709 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina, berjaya dihantar pulang pada program pemindahan tahanan asing ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Sabah.


Semua PATI yang dihantar pulang melibatkan bayi, kanak-kanak dan dewasa berusia 3 hingga 70 tahun yang sebelum ini ditahan daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.


Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan PATI dipindahkan ke Zamboanga City, Filipina, menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1.



Katanya, sehingga ke hari ini, seramai 2700 orang warganegara Filipina berjaya

dipindahkan ke negara asal dengan kerjasama penuh daripada pihak Kedutaan Republik Filipina yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Travel Documents (TD).


“PATI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.


“PATI terlibat sudah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Menurutnya, semua tahanan PATI ini akan disenarai hitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.


Katanya, berdasarkan rekod statistik terkini Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, bilangan tertinggi warganegara yang dipindahkan adalah warganegara Filipina.


“ Setakat ini, seramai 2700 orang warga Filipina sudah dihantar pulang dan diikuti oleh 733 orang warganegara Indonesia, 53 orang warganegara Pakistan, 32 orang warganegara China, 3 orang warganegara Vietnam dan 7 orang lain-lain warganegara.


“Jumlah keseluruhan tahanan PATI yang telah menyertai program pemindahan ini adalah seramai 3,528 orang,” katanya.


Menurutnya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI warganegara Filipina oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Travel Document (TD) secara berterusan oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.


Katanya, operasi pemindahan tahanan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.


“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.


“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang

menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah dan individu

yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di

bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.


Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, JIM menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.


Katanya, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page