74 PATI Ditahan
- nabalunews
- Apr 9
- 1 min read

9 April 2025
SEMPORNA: Seramai 74 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan menerusi operasi Ops Sapu yang dilaksanakan di kawasan penempatan setinggan di kawasan Kampung Bubul Lama dan Kampung Damai, Semporna, hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dilancarkan susulan aduan awam berhubung kehadiran PATI yang semakin membimbangkan.
“Operasi yang dibuat ini berdasarkan aduan awam mengenai kerisauan masyarakat di daerah Semporna ini mengenai kehadiran dan keberadaan Pati.
“Pegawai serbuan menjalankan operasi ini berdasarkan sasaran aduan yang diterima dan pagi ini seramai 74 individu ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memantau Ops Sapu di Semporna, pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Sabah, Dzul Azwie Nawawi dan Ketua Imigresen Tawau, Lily Surihani Raona.
Menurut Sitti Saleha, sepanjang operasi dijalankan, pelbagai taktik digunakan oleh Pati untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
“Kita lihat dari operasi tadi, ada cubaan menghalang penguat kuasa masuk ke kawasan dengan meletakkan lori besar di jalan.
“Selain itu ada juga kemungkinan mereka sengaja menumbangkan sebatang pokok bagi menyukarkan pergerakan penguat kuasa. Ini adalah taktik biasa dilakukan oleh kelompok ini,” katanya.
Terdahulu, operasi selama empat jam yang berakhir jam 4 pagi itu melibatkan seramai 40 pegawai dan anggota JIM dari daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen
Comments