top of page

78,000 batang rokok putih tidak bercukai dirampas

nabalunews

Bot dan barang rampasan itu. (Gambar Maritim Zon Sandakan).
Bot dan barang rampasan itu. (Gambar Maritim Zon Sandakan).

8 Februari 2025


SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 78,400 batang rokok di perairan daerah ini, pada Khamis.


Semua rokok putih tidak bercukai itu dirampas dalam operasi kira-kira jam 11 malam, apabila sebuah bot mencurigakan dikesan berhampiran perkampungan atas air di Tanah Merah, di sini.


Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kejayaan rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu Op Pluto Timur / Op Cegah Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) (OCP) dan Op Tiris.


Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, vesel berkenaan terus memecut ke kawasan perairan cetek berhampiran.


“Seorang individu yang dipercayai berada di dalam vesel berkenaan kemudiannya bertindak melarikan diri.


“Tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menahan vesel yang berdaftar di bawah lesen perikanan itu kira-kira 15 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan media, semalam.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, vesel yang dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda itu membawa 78,400 batang rokok putih tidak bercukai.


Katanya, ia dipercayai cuba diseludup dari negara jiran dan nilai keseluruhan rampasan termasuk enjin sangkut dan vesel, dianggarkan melebihi RM63,000.


“Semua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan.


“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan tanpa permit yang sah serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana gagal mempamerkan lesen vesel yang sah.


"Kita juga akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik bot serta dalang utama di sebalik kegiatan

penyeludupan ini." tegasnya.


Sementara itu, Suhairy berkata, Maritim Malaysia komited dalam usaha membanteras penyeludupan di perairan negara.


Katanya, pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan

negara digesa untuk menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page