top of page
  • nabalunews

Aaron, Wooi Yik terima ganjaran RM125,000, lanjut kontrak hingga Olimpik Los Angeles 2028

25 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi bersyukur kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menaruh kepercayaan terhadap mereka meskipun usia kedua-duanya semakin meningkat menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA 2028).


Aaron dan Wooi Yik bakal berusia awal 30-an di LA 2028 dan mereka yakin fasiliti dan sokongan padu diberikan BAM mampu untuk meneruskan misi mereka memburu kilauan pingat lebih berharga di Los Angeles empat tahun lagi.


Kelmarin, beregu yang meraih gangsa di Olimpik Paris 2024 dan Tokyo 2020 itu melanjutkan kontrak bersama BAM sehingga LA 2028.


"Kami mempunyai matlamat sama, untuk berjuang di Los Angeles. Kami bersyukur kerana BAM masih mempercayai kami dan sudah tentu Tan Sri (Mohamad Norza Zakaria) juga masih percaya yang kami mampu melakukannya.


"Kami mahu kekal di BAM dan ia satu keputusan yang terbaik. Kami gembira kerana BAM terus menghargai kami walaupun usia kami tidak lagi muda dan kami akan berjuang untuk BAM dan juga negara," kata Wooi Yik kepada media selepas majlis penyerahan insentif BAM, semalam.


Berita Harian melaporkan pada majlis itu, Aaron dan Wooi Yik masing-masing menerima RM125,000 manakala barisan kejurulatihan serta staf sokongan secara keseluruhan menerima RM60,000.


Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik menerima durian runtuh menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) iaitu RM100,000 seorang dan sebuah kereta SUV Chery bernilai RM123,800 setiap seorang.


Dalam pada itu, Aaron berkata, BAM dan Norza sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka baik ketika di dalam atau pun di luar gelanggang.


"Terima kasih BAM kerana membantu kami dan menyokong kami. Terima kasih kepada Tan Sri kerana kami melalui pelbagai cabaran beberapa tahun kebelakangan ini.


"Beliau memberikan sokongan penuh di sepanjang masa walaupun ada masanya kami melalui naik dan turun. Beliau memberikan sokongan tidak berbelah bahagi, tak pernah menyerah kalah dan selalu yakin dengan kemampuan kami.


"Kami sangat menghargai apa yang Tan Sri dan BAM sudah lakukan kepada kami. Kami akan berjuang sehingga LA 2028," kata Aaron.

Comments


bottom of page