top of page
Wartawan Nabalu News

ADAKAH SESUAI BENARKAN DINE IN DI RESTORAN?


10 Feb 2021


KOTA KINABALU: Kebanyakan pengusaha restoran gembira apabila kerajaan membenarkan orang ramai makan di restoran namun tidak kurang juga masyarakat yang berpendapat bahawa sekarang masih bukan masa yang sesuai untuk aktiviti tersebut dijalankan.


Bagi mereka, dengan jumlah kes aktif Covid-19 yang masih pada angka empat digit di Sabah, terdapat beberapa faktor risiko yang perlu diberikan perhatian oleh orang ramai semasa makan di restoran seperti sesi perbualan yang lama dan pembukaan pelitup muka dengan kerap.

Jane Koh

Jane Koh, 34, berpendapat walaupun seseorang menjamu selera bersama individu dari


rumah yang sama, terdapat kemungkinan bahawa seseorang itu akan bersemuka dengan orang lain semasa makan di restoran.


"Saya secara peribadi tidak setuju kerajaan membenarkan makan di restoran pada masa ini, terutama ketika kita masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (MCO). Mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sama sekali tidak membawa perbezaan.


"Takeaway jauh lebih baik kerana kita dapat makan di rumah tanpa perlu risau tentang penyebaran Covid-19. Lagipun, kita dapat memesan dari perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda, Grab Food dan Morefun, yang juga secara tidak langsung menyokong rider tempatan," katanya.


Tidak dapat dinafikan bahawa banyak perniagaan yang terkesan akibat wabak pandemik ini, namun Jane berpendapat bahawa itu bukan pengakhiran untuk segalanya kerana ada cara lain yang boleh dilakukan oleh pengusaha perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baru.

"Kita dapat lihat kebanyakan mereka yang kehilangan pekerjaan atau terjejas perniagaan menjumpai alternatif lain untuk mencari sumber pendapatan, seperti mempromosi menu mereka melalui media sosial dan menawarkan perkhidmatan penghantaran.


"Sebagai contoh, ada restoran yang menawarkan makan secara pandu lalu bagi para pelanggannya. Ini adalah cara yang inovatif untuk memastikan perniagaan terus berjalan sambil mengurangkan risiko penyebaran Covid-19. Saya rasa restoran lain harus mencuba kaedah ini," kata Jane yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran.

Olly Scully

Sementara itu, Olly Scully Dominic dari Tuaran berpendapat bahawa walaupun beliau gembira kerana makan di restoran kini dibenarkan, namun beliau masih bimbang tentang kemungkinan risiko penularan Covid-19 ketika makan di restoran.


"Penularan Covid-19 masih lagi berleluasa, kita sebagai warganegara Malaysia harus memainkan peranan untuk mengekang penyebaran virus sambil membantu memulihkan semula ekonomi kita.


"Sekiranya anda ingin makan di restoran, teruskan, tetapi setiasa beringat untuk mematuhi SOP. Setelah selesai makan, jangan duduk lama dan tinggalkan premis itu segera," katanya.


Beliau berkata, kadangkala masalahnya terletak pada sikap orang ramai yang enggan mematuhi SOP.


“Sebagai contoh, kadang-kadang ada lebih dari dua orang di satu meja, walaupun mereka tahu hanya dua orang yang dibenarkan kerana mereka adalah seisi rumah dan harus duduk bersama dalam satu meja,” kata pelajar berusia 21 tahun itu.

Yap

Pengendali restoran You Kee Bah Kut Teh di Penampang yang hanya ingin dikenali sebagai Yap berkata, sememangnya kebenaran makan di restoran amat bagus untuk perniagaan, namun beliau merasakan masih terlalu awal untuk itu.


"MCO akan berakhir pada 18 Feb, tetapi mereka (kerajaan) telah membenarkan makan di restoran pada 10 hari bulan. Ini menunjukkan bahawa SOP kerajaan tidak terlalu ketat, tetapi saya faham bahawa ada risiko yang harus kita ambil.


"Kita juga perlu membayar pekerja kita, dan satu-satunya cara yang boleh dilakukan adalah meningkatkan penjualan. Ini biasanya dapat dicapai jika makan di restoran diizinkan," katanya.


Menurutnya, restorannya mengalami penurunan penjualan sebanyak 60 peratus semasa MCO pertama tahun lalu dan belum pulih sepenuhnya sejak itu.


“Semalam adalah hari pertama makan di restoran dibenarkan. Hanya ada beberapa pelanggan pada waktu siang, tetapi jumlahnya perlahan-lahan meningkat pada waktu malam, ini amat baik.

"Saya bersetuju dengan SOP yang membenarkan hanya dua orang setiap meja, saya harap semua restoran dapat mematuhi SOP tersebut untuk membendung penyebaran Covid-19, jika tidak, kita harus tutup lagi. Istilah 'kita jaga kita' perlu diamalkan”.


Kerajaan Sabah telah membenarkan makan di kedai makan dari jam 6 pagi hingga 10 malam bermula 10 Februari.


Perkara itu diumumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun yang menyatakan bahawa hanya dua orang dibenarkan setiap meja dengan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.


Sekurang-kurangnya seorang pekerja di setiap restoran juga perlu berada di pintu masuk untuk mengawal jumlah kemasukan pelanggan di premis tersebut.

Comments


bottom of page