Adik-beradik dari Semporna johan Qari dan Qariah MTHQ peringkat Bahagian Tawau
![Nizam menyampaikan hadiah kepada johan kategori Qariah sempena MTHQ peringkat Bahagian Tawau, hari ini.](https://static.wixstatic.com/media/d65831_ac19389615df4b02993c750128aff62c~mv2.jpg/v1/fill/w_920,h_464,al_c,q_85,enc_auto/d65831_ac19389615df4b02993c750128aff62c~mv2.jpg)
5 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
TAWAU: Adik-beradik dari Semporna muncul johan bagi kategori Qari dan Qariah sempena Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran (MTHQ) peringkat Bahagian Tawau yang berlangsung di ruang legar Masjid Al-Kauthar di sini, hari ini.
Abdullah Abdul Wahid, 46, dan adiknya, Norasmah, 20, akan mewakili Bahagian Tawau ke pertandingan MTHQ peringkat negeri di Kota Kinabalu yang dijadualkan pada 13 hingga 16 Februari depan.
Abdullah yang bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tg Kapur berkata, beliau akan terus memperbaiki teknik bacaan dan mempersiapkan diri secara mental dan rohani sebagai persiapan untuk bersaing di peringkat negeri nanti.
Manakala, Norasmah, 20, yang merupakan pelajar Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) pula menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah buat keluarga dan guru-guru yang menjadi tulang belakang yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Hadiah para pemenang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang hadir merasmikan program berkenaan.
Bercakap kepada media, Nizam berkata, juara-juara pertandingan yang akan mewakili Zon Tawau (Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kalabakan) diharap akan terus memperbaiki bacaan masing-masing agar mampu mendapat kedudukan terbaik di peringkat negeri.
Dalam masa yang sama, beliau memuji komitmen pihak penganjur program berkenaan kerana berjaya mendapat sambutan dan penyertaan cukup menggalakkan, yang dilihatnya menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat muda yang celik Al-Quran.
Beliau juga menggalakkan Jawatankuasa Masjid dan Surau berkolaborasi dengan madrasah dan pusat tahfiz dalam mengadakan kelas-kelas mengaji untuk melahirkan ramai Hafiz dan Hafizah serta Qari dan Qariah yang berkualiti dari daerah Tawau.
Nizam turut mengingatkan semua madrasah dan pusat tahfiz supaya berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk memudahkan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan.
Bantuan itu, katanya, termasuklah bagi pelaksanaan aktiviti dan kegiatan untuk melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Comments