Aduan QR Masyarakat Bantu Banteras Rangkaian Pengedaran Cecair Mushroom
- nabalunews
- Apr 9
- 1 min read

9 April 2025
KOTA KINABALU: Polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran cecair mushroom menerusi maklumat yang diterima daripada aplikasi Aduan QR Masyarakat.
Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan sebuah kereta Perodua Viva di kawasan Bandar Prima, Batu 4, Sandakan pada jam 11.30 malam, 7 April lalu.
Menurut sumber, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan menemui satu paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphethamine.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui tiga botol plastik lutsinar mengandungi 10ml cecair vape yang disyaki mengandungi dadah merbahaya.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam aktiviti menjual cecair mushroom sejak sebulan yang lalu dan mendapatkan bekalan daripada kenalannya.
“Susulan maklumat berkenaan, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun di kawasan Bandar Indah Jaya, Batu 4, Sandakan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi sekali lagi berjaya merampas 0.85 gram syabu dan 205 mililiter cecair vape bernilai RM210.
Katanya, ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Comments