ADUN Kadamaian komited sokong seni budaya tempatan ke peringkat global
14 Januari 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, sentiasa komited dalam menyokong seni dan budaya tempatan di negeri ini ke peringkat global.
Bagi merealisasikan usaha tersebut, Ewon diwakili Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin telah menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Seni Budaya Bayu (Windbreeze Cultural Association).
Wakil penerima sumbangan iaitu Penasihat Persatuan Seni Budaya Bayu, Ajijul Durasip, berkata sumbangan ini akan digunakan untuk pembelian tiket penerbangan seorang peserta yang mewakili Malaysia ke Asian Folklore Congress di Korea Selatan. Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 29 Januari 2025 di SAC ART HALL, Seoul, Korea Selatan.
“Bagi pihak persatuan, kami sangat berterima kasih kepada Ewon atas sokongan beliau. Ini adalah bukti keprihatinan pemimpin kita terhadap usaha memartabatkan seni budaya tempatan di peringkat global,” ujar Ajijul.
Difahamkan, persatuan Seni Budaya Bayu sebelum ini aktif dalam mempromosikan seni budaya tradisional Sabah, dan penyertaan dalam kongres tersebut dianggap sebagai peluang emas untuk mempamerkan keunikan budaya Malaysia kepada dunia.
Comments