ADUN Kadamaian Prihatin: Salur Bantuan Bencana di Kampung Pinolobuh

25 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menunjukkan komitmen berterusan dalam membantu mangsa bencana alam di kawasan beliau dengan menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas di Kampung Pinolobuh, Kota Belud.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil kepada dua penerima, Jupiter Gunting dan Poungin Meun, dalam satu majlis ringkas yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinolobuh, Jalni Mison.
Menurut Clarence, bantuan yang disampaikan berupa bahan binaan zink bertujuan menggantikan atap rumah mangsa yang rosak akibat ribut kencang yang melanda kawasan tersebut pada 14 Disember tahun lalu.

Menurut menjelaskan Pihak UPPM Kadamaian telah meninjau keadaan selepas kejadian berlaku bagi memastikan anggaran kerosakan.
"Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh mangsa selepas kejadian ribut ini. Oleh itu, pihak UPPM di bawah kepimpinan Ewon komited memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan," kata Clarence ketika ditemui.
Jupiter dan Poungin yang menerima bantuan tersebut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan beliau terhadap kebajikan masyarakat di Kadamaian.
"Kami amat menghargai bantuan ini kerana ia meringankan beban kami untuk membaiki kerosakan rumah yang terjejas akibat ribut. Terima kasih kepada Ewon kerana mengambil berat masalah kami," ujar Jupiter.
Menurut Clarence, bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Ewon dalam menangani keperluan rakyat di kawasan Kadamaian, khususnya dalam situasi kecemasan seperti bencana alam.
Pendekatan mesra rakyat yang diamalkan oleh ADUN Kadamaian ini terus mendapat sokongan dan penghargaan daripada penduduk setempat, yang melihat beliau sebagai pemimpin yang cakna terhadap isu-isu komuniti.
Comments