ADUN Kadamaian salur sumbangan bagi pembangunan pendidikan Tadika Ceria KadazanDusun
13 Januari 2025
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus membuktikan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan dengan menyokong program yang memupuk nilai ilmu di kalangan generasi muda.
Sumbangan tersebut telah diserahkan melalui wakilnya, Shainim Epin, daripada Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian kepada Guru Besar Tadika Ceria KadazanDusun Tiong Monggis Tenghilan, Tuaran, Chrisnelia Assin.
Menurut Chrisnelia, sumbangan itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan bagi Majlis Hujung Tahun Tadika Ceria KadazanDusun.
Majlis tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meraikan pencapaian mereka sepanjang tahun, tetapi juga mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru, dan masyarakat setempat.
Chrisnelia turut mengucapkan penghargaan kepada Ewon atas keprihatinan dan sokongan padu yang diberikan.
"Walaupun kedudukan Tadika Ceria KadazanDusun bukan dari kawasan Kadamaian, keprihatinan beliau terhadap pendidikan amat dihargai. Ini menunjukkan bahawa Ewon seorang pemimpin yang benar-benar memahami pentingnya pendidikan untuk masa depan generasi muda," katanya.
Ewon dalam kenyataannya sebelum ini berkaitan pendidikan, menyatakan bahawa beliau sentiasa menyokong usaha pembangunan pendidikan, tidak kira di mana kawasan tersebut. Bagi beliau, pendidikan adalah tonggak utama dalam melahirkan masyarakat yang progresif dan berdaya saing.
Comments