ADUN Kadamaian Sumbang Projektor LCD kepada Gereja SIB Takulung
14 Disember 2024
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus komited berkhidmat demi kesejahteraan rakyat Kadamaian dengan menyumbangkan satu set projektor Paparan Hablur Cecair atau Liquid Crystal Display (LCD) untuk membantu memenuhi keperluan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Takulung, Mukim Lasau.
Penyerahan pojektor LCD itu disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis yang mewakili Ewon kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Elycia Sikul.
Sumbangan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan komuniti gereja dalam menjalankan aktiviti keagamaan seperti ceramah dan khutbah.
Menurut Elycia, permohonan bantuan ini telah diajukan oleh pihak Gereja SIB Takulung kepada Ewon sebelum ini. Beliau menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan ADUN Kadamaian yang memahami keperluan mendesak masyarakat setempat.
“Sumbangan projektor ini akan membantu mempermudah pelbagai program keagamaan dan aktiviti komuniti kami,” ujar Elycia.
Tambah Elycia lagi, sebahagian besar komuniti Kristian di Kampung Takulung adalah golongan berpendapatan rendah, menjadikan akses kepada kemudahan seperti ini agak terhad.
Sebagai seorang pemimpin di peringkat kampung, Elycia berusaha untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kekurangan yang dihadapi oleh penduduk setempat.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keperluan asas komuniti dapat dipenuhi, dan usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan pemimpin seperti Ewon,” jelasnya.
Sumbangan ini antara usaha berterusan Ewon dalam memastikan komuniti Kadamaian mendapat perhatian yang sewajarnya.
Sebagai seorang pemimpin, beliau dikenali dengan inisiatifnya untuk membantu masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang agama atau status ekonomi.
Comentários