ADUN Kapayan cadang tubuh pasukan khas selesaikan isu tanah orang asal Sabah

29 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang mencadangkan agar Kerajaan Sabah menubuhkan Task Force Tanah Orang Asal Sabah untuk menyelesaikan isu pegangan dan hak milik tanah.
Beliau berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang telah menjalankan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal pada 2011-2013 mendapati bahawa syor-syor Inkuiri tersebut yang telah diterimapakai oleh kerajaan belum dilaksanakan selepas 10 tahun.
Jelas Jannie, isu hak milik dan pegangan tanah adat merupakan antara isu-isu yang terbesar, terutamanya di dalam lapan daerah termiskin di Malaysia yang berada di Sabah.
"Tanah adalah asas ekonomi dan kelangsungan hidup masyarakat orang asal.
"Jika isu itu diselesaikan, ia bukan sahaja kesejahteraan mereka terjamin tetapi dengan bantuan kerajaan yang betul, ekonomi mereka akan meningkat, membolehkan mereka mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan.
"Jika kita inginkan Sabah keluar dari gelaran paling miskin di Malaysia, usaha yang serius untuk memantau penyampaian segala peruntukan yang di salurkan kepada daerah Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Nabawan, Tongod, Kota Belud dan Kinabatangan perlu dibuat," katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Tambah beliau, tumpuan yang lebih juga harus diberikan kepada rakyat B40 dan yang miskin tegar, dan bukan hanya kepada pemain industri atau pelaksana projek yang hanya meningkatkan pendapatan golongan atasan.
Selain itu, Jannie juga menyaranlan agar Rancangan 10 Tahun untuk Menghentikan Perkahwinan Bawah Umur 18 Tahun yang telah diterimapakai oleh kerajaan sebelum ini akan diberi perhatian serius dan dilaksanakan.
"Rancangan tersebut merangkumi pindaan undang-undang di bawah Undang-undang Keluarga Islam dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri, dan meneruskan pelbagai usaha meningkatkan kesedaran melalui kolaborasi antara pelbagai pihak," ujar beliau.
Comments