ADUN PH Sabah Guna Kenaikan Elaun Biayai Saman 40%, Gesa Reformasi DUN Perkasakan Peranan ADUN
20 Julai 2022
ADUN-ADUN PH Sabah Guna Kenaikan Elaun Untuk Biayai Saman 40%, Gesa Reformasi DUN Untuk Perkasakan Peranan ADUN
Kerajaan Sabah pada hari kelmarin telah membentangkan pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) 1981 bagi menaikkan kadar gaji Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri, Speaker, Pembantu Menteri, Timbalan Speaker, ADUN dan Setiausaha Politik. Pindaan ini telah diluluskan melalui undian suara.
Pada 3 Jun yang lepas, ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen PH Sabah telah memfailkan Saman Pemula (Originating Summon) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi menuntut pelaksanaan pemungutan semula 40% hasil persekutuan di Sabah sepertimana termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. PH Sabah juga sedang mempertimbangkan beberapa lagi tuntutan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia untuk dibawa ke mahkamah.
ADUN-ADUN PH Sabah akan menggunakan kenaikan elaun ini bagi membiayai kos perundangan saman 40% tersebut dan akan menggunakan sepenuhnya platform mahkamah sehingga ke Mahkamah Persekutuan bagi menuntut hak-hak Sabah ini.
Dalam masa yang sama, ADUN-ADUN PH Sabah juga menggesa Kerajaan Sabah melaksanakan reformasi-reformasi di peringkat Dewan Undangan bagi memperkasakan peranan ADUN agar justifikasi kenaikan elaun ini dapat dirasai oleh rakyat. Reformasi- reformasi tersebut adalah:-
(i) Menubuhkan Jawatankuasa Antara Parti untuk menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan secara lebih bersepadu;
(ii) Menggandakan jumlah hari persidangan DUN dalam setahun supaya masalah- masalah rakyat dapat ditangani dengan lebih baik;
(iii) Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut isu dan portfolio setiap Kementerian bagi memperkasakan peranan semak dan imbang;
(iv) Melibatkan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah;
(v) Memperkenalkan Enakmen baharu peruntukan pembangunan sama rata kepada semua ADUN yang dipilih supaya bantuan-bantuan kepada rakyat dapat disalurkan.
ADUN-ADUN PH Sabah juga akan menggunakan kenaikan elaun tersebut untuk program- program bantuan kebajikan di kawasan diwakili masing-masing memandangkan kami tidak menerima peruntukan khas ADUN sepertimana diterima oleh ADUN-ADUN kerajaan.
Kenyataan Bersama:
CHRISTINA LIEW ADUN N.20 Api-Api
PHOONG JIN ZHE ADUN N.21 Luyang
PETO GALIM ADUN N.18 Inanam
POON MING FUNG ADUN N.56 Tanjung Papat
JANNIE LASIMBANG ADUN N.25 Kepayan
EWON BENEDICK ADUN N.11 Kadamaian
TAN LEE FATT ADUN N.19 Likas
Comments