top of page
  • Wartawan Nabalu News

Agensi KUSKOP salur pembiayaan RM953.9 juta kepada usahawan di Sabah, RM731.2 juta di Sarawak, tahun 2023 - Ewon


26 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyalurkan pembiayaan sejumlah RM1.685 bilion pembiayaan kepada usahawan di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun lalu.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu RM953.9 juta pembiayaan disalurkan di Sabah dan RM731.2 juta di Sarawak.


Beliau berkata, antara agensi yang terlibat menyalurkan pembiayaan itu ialah SME Corp. Malaysia, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank dan Bank Rakyat.


“KUSKOP melalui agensi-agensi kementerian sentiasa komited melaksanakan pelbagai program bersifat inklusif kepada semua usahawan dan koperasi di seluruh negara,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), yang bertanya apakah inisiatif proaktif Kementerian dalam usaha membantu golongan usahawan kecil terutama dalam kalangan B40 dan usahawan belia di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah dan Sarawak.


Ewon berkata, KUSKOP dan agensi-agensi di bawah kementerian itu telah melaksanakan program khusus bagi meningkatkan keberdayaan usahawan khususnya golongan B40 dan usahawan muda di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah dan Sarawak.


“Antaranya Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak oleh SME Corp. khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak.


“Sejak dilaksanakan pada September 2023 sehingga 31 Mei 2024, sejumlah 112 usahawan mikro di Sabah dan Sarawak telah diluluskan geran berjumlah RM9.4 juta.


“Bagi tempoh 2021 sehingga 31 Mei lalu, SME Corp. juga telah melaksanakan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di Sabah dan Sarawak yang memberi manfaat kepada seramai 1,171 usahawan belia dengan geran berjumlah RM17.1 juta,” katanya.


Selain itu katanya, SME Corp juga telah melaksanakan Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang memberi manfaat kepada seramai 977 peserta di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.64 juta dan seramai 372 peserta di Sarawak melibatkan peruntukan bernilai RM1.01 juta bagi tempoh 2021 hingga Mei 2024.


Ewon berkata, bagi Skim Pembiayaan Usahawan Tamu di bawah TEKUN Nasional, seramai 505 penjaja dan peniaga kecil di Sabah dan Sarawak menerima manfaat dengan nilai pembiayaan sebanyak RM2.2 juta.


“Bagi usahawan muda pula, pada tahun 2023, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.039 juta kepada 75 usahawan belia di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya.


Manakala bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar i-MUDA oleh AIM, seramai 9,894 usahawan muda di Sabah dan Sarawak menerima manfaat dengan nilai pembiayaan sebanyak RM55.4 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2024.

Beliau berkata, INSKEN juga telah membuka Pejabat Cawangan di Sabah pada 25 Mei 2023 di Sabah dan di Sarawak pada 1 Oktober 2023.


“Semenjak itu, INSKEN telah melaksanakan 52 program melibatkan seramai 1,773 usahawan di Sabah dan Sarawak.


“Program iTekad oleh SME Bank di Sabah dan Sarawak melibatkan seramai 60 usahawan B40 dengan geran peruntukan sebanyak RM300,000. Manakala di bawah program iTEKAD Bank Rakyat pula, sebanyak RM345,000 telah disalurkan kepada 69 orang usahawan B40 di Sabah dan Sarawak.


“Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE), Program Latihan Kerjaya dan Keusahawanan bagi Graduan TVET (GRACE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE) di bawah PROTEGE yang telah memberi manfaat kepada seramai 48 usahawan graduan di Sabah dan Sarawak pada tahun 2023,” katanya.


Beliau berkata, kementeriannya juga menyediakan platform perkomersialan dan pemasaran menerusi pameran dan jualan produk kepada usahawan tempatan melalui Showcase Satu Daerah Industri (SDSI) di Sabah dan Sarawak selain penganjuran Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Sabah pada tahun 2023.

Ewon berkata, pada tahun ini KUSKOP memulakan Projek Tamu Desa yang bertujuan untuk membina dan menaiktaraf kemudahan ruang niaga dan infrastruktur keusahawanan di luar bandar di Sabah dan Sarawak.


“Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM9 juta bagi pelaksanaan Fasa 1 yang merangkumi kerja-kerja bina baru atau naik taraf sebanyak 36 tapak tamu desa di Sabah dan 13 tapak tamu desa di Sarawak,” katanya.

Comments


bottom of page