Agensi penguatkuasaan diberi kuasa untuk pemeriksaan beras di seluruh negara

5 Okt 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Semua agensi penguatkuasaan diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang dan pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat penyelarasan Task Force Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan kelmarin, mesyuarat bersetuju memberikan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta menubuhkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.
Isnin lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelaksanaan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang diketuai oleh Chan.
OP BPT melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
KPKM berkata OP BPT bermula semalam ini melibatkan pemeriksaan di 93 buah kilang, 130 pemborong dan peruncit serta turut meliputi pemeriksaan di sempadan negara dan pelabuhan utama.
"KPKM menegaskan bahawa tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan beras putih import atau menyembunyikan bekalan BPT," katanya.
Comments