Agihan sumbangan RM30 Juta kepada pesawah dijangka selesai pertengahan April
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

7 April 2025
PUTRAJAYA: Pengagihan sumbangan sebanyak RM30 juta kepada 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara telah dimulakan dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan bulan ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata dana RM30 juta telah diterima sepenuhnya daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 28 Mac lalu.
Katanya, proses pengagihan itu mengambil sedikit masa berikutan perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat tersebut.
“Dana RM30 juta ini bukan dana awam, sebaliknya adalah peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat BERNAS sendiri.
"Setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.
"Maka, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu lalu.
Mohamad berkata, ianya seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan pihak syarikat, terutama membabitkan dana berskala besar.
Katanya, pendekatan yang diambil adalah meminta syarikat swasta membantu golongan yang memerlukan seperti pesawah, bukan menyumbang kepada parti politik seperti yang berlaku pada kerajaan terdahulu.
"Sebagai sebuah Kerajaan Madani yang berpegang kepada prinsip keutamaan rakyat, kita percaya sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik," katanya.
Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) amat memahami kegusaran serta harapan tinggi pesawah dan kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan itu sampai kepada semua yang berhak.
Terdahulu, pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan BERNAS bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah.
Comments