top of page
nabalunews

Agong, Raja Permaisuri bertemu rakyat Malaysia di Brunei

14 Oktober 2024


BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan bertemu rakyat Malaysia di Brunei dalam Majlis Santap Petang di sini, pada Ahad.


Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba di Brunei pada 11.25 pagi Ahad untuk memulakan lawatan negara selama tiga hari hingga Selasa.


Berangkat sama Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.


Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan, lapor Bernama.


Kira-kira 300 diaspora Malaysia hadir dalam majlis berkenaan. Antaranya ahli perniagaan, Persatuan Warganegara Malaysia dan Persatuan Kebajikan Melayu Se-Malaysia.


Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyertai sesi bergambar bersama warga Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei dan sempat beramah mesra serta bersalaman dengan diaspora Malaysia sebelum berangkat meninggalkan majlis.


Terdahulu, Mohd Aini dalam ucapan alu-aluan berkata keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua merupakan manifestasi kepada keutuhan dan keistimewaan hubungan dua negara bersaudara, selain menjadi sorotan utama dalam memperingati ulang tahun ke-40 penubuhan diplomatik Malaysia-Brunei tahun ini.


Beliau berkata kira-kira 25,000 komuniti Malaysia di Brunei melakar pencapaian dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi yang menyaksikan rakyat Malaysia merupakan antara tonggak utama kepada perniagaan-perniagaan besar di negara ini.


"Ramai juga golongan profesional dari Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti perubatan, pendidikan, guaman, kewangan, pembinaan, teknologi maklumat dan sebagainya," katanya.


Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan katanya, sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di negara ini kekal terpelihara.


Mohd Aini berkata kendatipun di perantauan, kesetiaan kepada raja dan negara kekal subur dalam sanubari rakyat Malaysia di Brunei.


"Patik mewakili rakyat Malaysia di negara ini menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku. Semoga ikatan kasih sayang antara raja dan rakyat terus utuh merentasi pelosok dunia," katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Warganegara Malaysia di Brunei, Azlan Ahmad berkata pihaknya amat berbesar hati dan teruja kerana dapat bertentang mata dengan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang mengadakan lawatan negara pertama ke Brunei selepas menaiki takhta pada 31 Januari lalu.


"Kami gembira kerana Seri Paduka Baginda berdua sudi mencemar duli bertemu rakyat Malaysia, ahli persatuan yang tidak dapat hadir juga berkongsi kegembiraan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda," katanya kepada Bernama.


Azlan berkata persatuan itu ditubuhkan lebih 30 tahun lepas dan mempunyai lebih 5,000 ahli berdaftar manakala 554 ahli aktif yang terdiri daripada golongan profesional, pelajar, pensyarah dan ahli perniagaan.


Terdahulu Sultan Ibrahim berangkat tiba di Bandar Seri Begawan bagi memulakan lawatan negara ke Brunei selama tiga hari bermula Ahad.


Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini pada 11.25 pagi dan diberi sambutan hamparan permaidani merah.


Turut mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.


Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong disambut oleh Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.


Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ialah Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul Adawiyyah selaku Kerabat Diraja Pengiring, dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.


Selain Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan, turut hadir menyertai sambutan ketibaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof sebagai Menteri Pengiring, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Datuk Seri Setia Erywan Yusof dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Datuk Seri Setia Abdul Manaf Metussin.


Mengiringi Yang di-Pertuan Agong dalam lawatan itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan.


Seri Paduka Baginda kemudian berkenan melintasi barisan kawalan kehormatan oleh 26 anggota Rejimen Pengawal Diraja, Tentera Darat Diraja Brunei sebelum berangkat ke hotel penginapan di Bandar Seri Begawan.


Hari ini, Seri Paduka Baginda berdua akan diberi sambutan negara di Istana Nurul Iman di sini, disusuli Kunjungan Menghadap ke atas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.


Pada sebelah petang, Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) untuk menyempurnakan perasmian Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.


Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan mengadakan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.


Lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Januari lepas ini adalah bagi memenuhi persilaan Sultan Hassanal Bolkiah.


Kunjungan yang dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.

Comments


bottom of page