top of page
Wartawan Nabalu News

Ahli-ahli Majlis Daerah Tongod diminta jadi perancang utama pembangunan


12 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TONGOD: Ahli-ahli Majlis Daerah Tongod yang dilantik untuk tempoh 2023-2025 diminta tidak sekadar memanaskan kerusi mesyuarat, tetapi menjadi perancang utama pembangunan di daerah ini.


ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata mereka yang menduduki jawatan tersebut harus menghasilkan budaya kerja kelas pertama.


Masiung juga berharap prestasi cemerlang Majlis Daerah yang lalu dapat dikekalkan oleh barisan ahli baharu kali ini.


Katanya, walaupun Majlis Daerah Tongod baru diwujudkan pada 2018 tetapi sehingga kini organisasi tersebut telah berjaya mengumpulkan dana melebihi RM3 juta.


Beliau berkata demikian pada majlis angkat sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah Tongod dan penyerahan tugas Pegawai Daerah baharu di Dewan Majlis Daerah di sini, pada Isnin.


Seramai 18 orang pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang telah dilantik menduduki kerusi Majlis Daerah Tongod untuk tempoh dua tahun berakhir April 2025.


Sementara itu, Pegawai Daerah baharu, Nelson Domil Oluk, dijangka melapor diri bertugas pada Isnin ini.


Beliau menggantikan, Haji Mohd. Fauzi Norbi yang dinaikkan pangkat di Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Comments


bottom of page