Ahli-Ahli Parlimen Sabah lengkapkan mandat Kerajaan Sabah perjuang hak perlembagaan, boleh dibantu peruntukan mesra rakyat - Ewon
18 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli-Ahli Parlimen Sabah akan melengkapkan mandat Kerajaan Sabah dalam mengangkat keperluan pembangunan serta hak perlembagaan Sabah di Dewan Rakyat dan Dewan Negaa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu mencadangkan supaya Ketua Menteri dan Kerajaan Sabah mempertimbangkan peruntukan khas negeri kepada Ahli-Ahli Parlimen Sabah untuk melaksanakan projek mesra rakyat di kawasan masing-masing.
“Ini belum pernah dilaksanakan tetapi sesuatu yang positif kerana Ahli-Ahli Parlimen inilah yang akan melengkapkan mandat Kerajaan Sabah dalam mengangkat keperluan pembangunan serta hak perlembagaan Sabah di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Belanjawan Sabh 2025, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ewon turut menghargai inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengadakan perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen Sabah bagi memastikan mereka dapat mengangkat keperluan pembangunan serta hak perlembagaan Sabah di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Saya amat yakin perbincangan-perbincangan di antara Ketua Menteri dan pimpinan Kerajaan Sabah dengan Ahli-Ahli Parlimen Sabah akan diteruskan bagi memastikan kita senada seirama, sejiwa sehati dalam mengangkat apa yang dihakkan kepada kita di Sabah,” katanya.
Beliau juga berharap Belanjawan Sabah 2025 dapat dijayakan sepenuhnya untuk manfaat seluruh rakyat negeri ini.
“Sesama warga Sabah, mari mengelakkan daripada saling ‘berantakan’ atau memfitnah sesama sendiri, sebaliknya terus progresif bersatu bersama pimpinan Kerajaan Sabah yang ada hari ini.
“Kita semua di sini memperjuangkan matlamat yang sama. Mari bersatu untuk rakyat Sabah dan masa depan Sabah kita,” katanya.
Comments