top of page
Wartawan Nabalu News

Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional buat kunjungan ke Pejabat TEKUN Sabah


Hemin (dua dari kiri) bersama Gilbert (dua dari kanan), Rowindy (kanan) dan Roger (kiri).

15 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional yang baru dilantik mengadakan kunjungan ke Pejabat Tekun Sabah, di sini, kalmarin.


Tiga Ahli Lembaga Amanah itu ialah Datuk Gilbert Syam (Wakil Negeri Sabah), Rowindy Lawrence Odong (Wakil Usahawan Wanita) dan Rogers Tiam Sinusun (wakil Usahawan).


Pengurus TEKUN Negeri Sabah Hemin Osumping berkata, kunjungan itu adalah sesi perkenalan Ahli-Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional dengan warga kerja TEKUN Sabah di samping bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai usahawan-usahawan di negeri ini.


Hemin berkata, pada tahun ini, TEKUN Sabah diperuntukan sebanyak RM75 juta dan menyasarkan lebih 3,700 usahawan menerima manfaat daripada skim-skim pembiayaan yang ditawarkan.

“Sehingga Mei 2023,  sebanyak RM38.9 juta pembiayaan berjaya disalurkan kepada seramai 1,758 usahawan khususnya usahawan di Sabah,” katanya.


Pelbagai skim pembiayaan disediakan antaranya Skim Pembiayaan TEKUN Niaga, Skim Pembiayaan Kontrak-i, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT), Skim Pembiayaan TEKUN Mobileprenuer, Skim Pembiayaan Bekas Penjawat Keselamatan(SPEK), Skim Pembiayaan Industri Sukan dan Program Pembangunan Usahawan Siswazah(PPUS).


TEKUN Sabah mempunyai 119 warga kerja, mula beroperasi sejak 1999 di Beaufort dan beroperasi di 22 pejabat cawangan meliputi 26 kawasan Parlimen termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.


Ahli Lembaga Amanah berharap kerjasama semua lapisan warga TEKUN Nasional khususnya TEKUN Sabah akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada para usahawan di negeri ini, sekaligus membantu merealisasikan hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick untuk memastikan usahawan menerima manfaat perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi dibawah kementerian itu.

Comments


bottom of page