top of page
  • nabalunews

Ahli PGRS Bahagian Karamunting diminta kekal bersatu padu, elak perpecahan

2 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, meminta ahli-ahli di bawah payung PGRS Karamunting untuk kekal bersatu padu dan mengelakkan perpecahan dalaman serta persengketaan politik yang hanya akan membawa ketidakstabilan di kawasan itu dan Sabah secara keseluruhan.


Katanya, Sabah sedang berkembang pesat dan berada di landasan yang lebih baik berbanding dahulu dimana negeri ini sering terjerumus dalam kemelut politik.


"Rakyat juga sudah bosan dengan perebutan kuasa politik dan mereka hanya inginkan kesejahteraan dengan kestabilan politik,” katanya.


George yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan PGRS Bahagian Karamunting, di Sanbay Ballroom, di sini pada Ahad.


Mesyuarat itu dirasmikan Naib Presiden PGRS, Datuk Masiung Banah dan dihadiri kira-kira 350 orang pemimpin dan ahli parti.


Jelas George, suasana penuh semangat ahli-ahli PGRS di kawasan itu juga menunjukkan kesediaan untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.


George turut menekankan agar semua pihak harus mengetepikan ego masing-masing dan bersatu untuk memimpin Karamunting ke arah kemakmuran dan kemajuan.


Turut hadir pada perasmian itu, wakil-wakil daripada parti komponen Gabungan Rakyat Sabah, parti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) serta wakil daripada PGRS bahagian Sekong yang hadir sebagai pemerhati mesyuarat.


Dalam perkembangan lain, George berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sedang membuahkan hasil dan hubungan di antara kedua-dua negeri Borneo itu perlu diteruskan bagi menjamin pembangunan yang lebih pesat.

Commentaires


bottom of page