Ahmad Shahril dilantik sebagai CEO Bank Rakyat
- nabalunews
- 23 hours ago
- 1 min read

15 April 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pelantikan Ahmad Shahril Mohd Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Rakyat berkuat kuasa, 9 April lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu berdasarkan komitmen dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan sepanjang menggalas tugas sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 9 November lalu.
Katanya, Ahmad Shahril mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan serta merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom selain menjadi Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.
“Dengan pengalaman yang luas dalam industri perbankan dan kewangan, pihak kementerian amat yakin beliau mampu mengemudi dan menggalas segala tugas yang diamanahkan sebaik mungkin.
“Khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan anggota dan pihak berkepentingan, memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi, di samping menyokong inisiatif inklusiviti kewangan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata,
Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan serta seluruh warga kerja Bank
Rakyat mengalu-alukan pelantikan Ahmad Shahril sebagai Ketua Pegawai Eksekutif
Bank berkenaan.
“Kami positif dan optimistik bahawa Bank Rakyat di bawah kepemimpinan beliau akan
terus mengekalkan mandatnya untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan sosioekonomi masyarakat sebagai Institusi Kewangan Pembangunan yang progresif dan berdaya saing, berteraskan nilai-nilai Islam dan kemampanan melalui pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25),” tegasnya.
Comentarios