Ahmad Zahid pengerusi Mesyuarat Bencana Negara, bincang isu banjir di Sabah dan Sarawak

24 Februari 2025
PENAMPANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa ‘High Level Community’ (HLC) Pengurusan Bencana Negara bilangan 1, bagi tahun ini, di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat ini membincangkan isu-isu dan penyelesaian berkaitan situasi bencana banjir di wilayah Sabah dan Sarawak yang terkesan sejak Januari 2025.
“Di Sabah, dua episod banjir telah berlaku iaitu pada 17 hingga 20 Januari yang melibatkan tiga daerah, manakala episod kedua pula berlaku pada 27 Januari hingga 16 Februari melibatkan 14 daerah.
“Sebanyak 3,120 ketua isi rumah (KIR) yang melibatkan 9,735 mangsa dipindahkan ke 68 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang
dibuka sepanjang tempoh ini.
“Bencana banjir di Sabah ini juga telah mengakibatkan kerosakan beberapa infrastruktur awam seperti jambatan-jambatan gantung di Daerah Kota Marudu dan Pitas,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, di Sarawak, pada MTL 2024 / 2025 kali ini telah mencatatkan purata hujan tertinggi sebanyak 900mm - berbanding kebiasaan purata hujan pada 450mm.
Katanya, data merekodkan sebanyak 5,012 KIR melibatkan 16,670 mangsa yang terkesan dengan bencana banjir telah mendapat perlindungan di 85 PPS.
“Bagaimanapun, terdapat sebanyak 32,901 keluarga yang menjadi mangsa banjir tetapi tidak berpindah ke PPS.
“Manakala bagi mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri pula, sebanyak 60 KIR melibatkan 209 mangsa masih mendapat perlindungan di Dewan Kampung Sukan Petronas.
“Kerajaan Negeri Sarawak sedang mengenalpasti kawasan perumahan sementara untuk menempatkan keluarga ini untuk memberi keselesaan kepada warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung khususnya sementara Kampung Lereng Bukit dibina semula dan masalah cerun tanah dibaiki,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Sarawak menganggarkan sebanyak 1,335 projek infrastruktur awam telah rosak dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan segera kesan daripada banjir yang berlaku di Negeri Sarawak.
Bagi menangani masalah kejadian banjir ini, projek tebatan banjir sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan akan dipantau dengan rapi bagi memastikan tiada kelewatan yang boleh menjejaskan usaha mengurangkan impak banjir setelah projek siap kelak.
Zahid berkata, kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat menitikberatkan isu ini dan komited untuk memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap, berkesan, dan mengikut jadual yang ditetapkan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, di Sabah, sebanyak 14 projek rancangan tebatan banjir akan dilaksanakan. Dua projek tebatan banjir telah siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period), 10 projek sedang dalam pembinaan dan dua (2) projek dalam fasa pra pelaksanaan.
Manakala di Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir telah dirancang dan dua (2) daripadanya telah siap dibina dan juga masih dalam tempoh liabiliti kecacatan. Dua (2) projek sedang dalam pembinaan dan enam (6) projek adalah adalah fasa pra pelaksanaan.
Sebagai langkah segera, mesyuarat juga telah meluluskan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Long Busang di daerah Belaga Sarawak. Untuk PPKB di kawasan-kawasan lain, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Setakat ini hanya ada satu PPKB telah dibina di Johor iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.
NADMA juga akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memudahkan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana. Kaedah ini juga sebagai satu usaha bagi mebgelak ketirisan penyaluran bayaran BWI.
Bagi pelan mitigasi jangka panjang, NADMA bersama JPS akan merealisasikan pelaksanaan pelan berkenaan termasuklah menfaatkan AI dan teknologi terkini khususnya dalam pengurusan dan pengurangan risiko bencana.
Mesyuarat juga mengambil maklum isu-isu tindak balas dan bantuan di lapangan yang telah dibangkitkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Negeri (JBPN) berkenaan beberapa penambahbaikan dari segi sokongan kewangan, tenaga kerja dan kakitangan, logistik dan lain-lain
aspek teknikal bagi penyelarasan operasi dan mitigasi pengurusan bencana.
Ini termasuklah penyewaan kenderaan oleh JKM bagi penghantaran barangan keperluan ke PPS ketika bencana.
Comments