AKPS Perlu Masa Penyesuaian Untuk Laksana Fungsinya- Saifuddin
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 1 min read

26 April 2025
KULIM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memerlukan sedikit masa untuk mencapai keupayaannya sebagai agensi tunggal dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai agensi baharu, AKPS yang menggabungkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung memerlukan penyesuaian peranannya.
“Oleh kerana ini perkara baharu, agensi yang dulunya bergerak secara berasingan, hari ini bergerak di bawah satu bumbung, bawah satu arahan jadi tentunya mereka mengambil sedikit masa untuk penyesuaian bagi melaksanakan satu fungsi operasi.
“Tapi kita yakin dalam satu tempoh yang munasabah aspek kawalan dan perlindungan sempadan negara akan dapat kita saksikan penambahbaikan daripada keadaan yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri MADANI di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata setakat ini AKPS telah beroperasi di 22 pintu masuk sempadan negara dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 123 pintu masuk.
Beliau berkata AKPS diwujudkan dengan tiga tujuan utama iaitu melancarkan urusan kawalan sempadan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, serta memperkukuhkan aspek integriti dalam pengurusan sempadan.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024.
Operasi rintis AKPS dimulakan sejak 1 Jan lepas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan sebelum diperluaskan ke 21 lagi pintu masuk negara seperti di Kedah, Sabah, Sarawak, Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).– BERNAMA
Comments