top of page
nabalunews

Aktiviti sukan di Kadamaian terus dapat sokongan, pastikan belia sertai program sihat dan bermanfaat

7 Oktober 2024


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus komited dalam menyokong program-program belia yang bermanfaat di kawasan Kadamaian bagi memastikan golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti positif dan sihat seperti pertandingan dart.


Pegawai Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian dan Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran berkata semua pihak digalakkan untuk terus aktif menyertai dan menganjurkan program-program riadah yang sihat dan bermanfaat bagi komuniti.


Katanya usaha seperti ini adalah penting untuk memastikan kesejahteraan sosial dan kesihatan fizikal masyarakat terus terpelihara.


Jolyhame berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Santai-Santai Blind Double Dart Challenge 2024, pada Sabtu bagi mewakili Ewon.


Pertandingan dart ini diadakan di Gerai Mee Sup Majia di sini dengan yuran penyertaan percuma dan menawarkan hadiah wang tunai RM160 untuk juara dan RM80 untuk Naib Juara.


Majlis turut dihadiri Pemaju Masyarakat N11 Kadamaian, Clarence Somuil.


Menurut Jolyhame, selain acara dart ini, Ewon juga menyokong aktiviti tahunan lain seperti larian jarak jauh, pertandingan bola sepak, tarik tali serta pelbagai kursus kemahiran yang membantu memperkasakan belia di Kadamaian.


Beliau menggalakkan semua pihak untuk terus aktif menyertai dan menganjurkan program-program riadah yang sihat dan bermanfaat bagi komuniti.


Jolyhame mengucapkan tahniah kepada Kelab Dart Buckshot atas penganjuran acara Santai-Santai Blind Double Dart Challenge 2024.


"Sekali lagi, syabas kepada semua yang terlibat, dan semoga acara ini berjalan dengan lancar dan berjaya," katanya.


"Inisiatif ini menunjukkan komitmen anda dalam mempromosikan sukan di peringkat komuniti, sekaligus menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan belia.


"Saya ingin menyampaikan salam daripada YB Datuk Ewon Benedick, yang tidak dapat bersama kita hari ini kerana menghadiri upacara rasmi di Istana Negeri untuk menerima pelantikan sebagai Jaksa Pendamai (JP) daripada Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah.


"Namun, beliau tetap menyokong penuh penganjuran acara ini dan menghargai usaha anda semua. YB Datuk Ewon Benedick juga komited dalam menyokong program-program belia yang bermanfaat di kawasan kita.


"Program seperti ini penting dalam memastikan golongan belia terlibat dengan aktiviti positif dan sihat," katanya.

Comments


bottom of page