Alat pemadam api selamatkan rumah daripada terbakar sepenuhnya
4 Februari 2024
SANDAKAN: Tidak sangka alat pemadam api pemberian rakan akhirnya menjadi penyelamat apabila berjaya memadamkam kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba.
Itu situasi sebuah keluarga yang hanya mengalami kerugian kerosakan kebakaran kecil dalam kejadian kebakaran di Jambatan 22, Kampung Sim-Sim, di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.30 pagi.
Katanya, pihaknya terus mengerahkan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal berkeluasan 111 meter persegi di perkampungan atas air.
“Api berjaya dipadamkan orang awam dan penghuni rumah menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan anggota bomba dan kerosakan hanya melibatkan sekitar 10 peratus keseluruhan rumah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, tiada operasi pemadaman dilakukan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan orang awam.
Katanya, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.48 pagi.
Comments