Albert Tei bukan pemberi maklumat
- nabalunews
- Apr 10
- 1 min read

10 April 2025
KOTA KINABALU: Ahli perniagaan Datuk Albert Tei bukan pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ dalam isu dakwaan rasuah membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan rekod, Albert tidak pernah membuat aduan rasmi kepada agensi berkenaan walaupun sudah beberapa kali diminta tampil memberikan maklumat.
“Albert bukanlah seorang whistleblower di sini, dan saya telah gesa beliau untuk datang ke SPRM untuk memberi pengaduan.
“Kalau ikut rekod, beliau tidak pernah datang ke pejabat untuk memberi aduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah di sini, hari ini.
Sementara itu, Azam berkata, SPRM sedang menganalisis 10 video yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah berkenaan termasuk yang dimuat naik di portal berita MalaysiaKini.
Katanya, analisis awal terhadap lapan video sebelum ini mendapati terdapat banyak unsur penyuntingan dan manipulasi yang menjejaskan kredibiliti sebagai bahan bukti di mahkamah.
“Semua video-video ini tidak boleh diterima di mahkamah kerana banyak elemen editing dan ia tidak credible.
“Video baharu yang lebih panjang kini sedang dianalisis secara terperinci oleh Bahagian Forensik SPRM, dengan fokus kepada penyuntingan, pemotongan bingkai, audio yang diubah serta kemungkinan manipulasi digital lain,” katanya.
Sementara itu, Azam berkata, siasatan SPRM terhadap dua kertas berkaitan kes berkenaan masih diteruskan.
“Siasatan pertama membabitkan Albert Tei bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd, Jontih Enggihon dan siasatan kedua pula melibatkan dakwaan pemberian wang kepada lapan ADUN Sabah.
“Kita juga sudah panggil semula semua individu terlibat, termasuk Albert dan lapan ADUN yang dinamakan. Kita cuma menunggu dokumen tambahan daripada Albert untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Comments