Amalan gaya hidup sihat menerusi kempen kesihatan untuk mahasiswa
- nabalunews
- 19 hours ago
- 2 min read

18 April 2025
KOTA KINABALU: Melahirkan mahasiswa yang mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik menjadi tumpuan kempen gaya hidup sihat yang akan bermula pada penghujung bulan ini di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK),Universiti Malaysia Sabah.
Kempen berdasarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan menggalakkan pelajar FSSK untuk mendapatkan senaman yang mencukupi, mengambil lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari dan mengamalkan pengambilan makanan berdasarkan Pinggan Sihat Malaysia.
Satu kajian awal dalam kalangan mahasiswa telah dijalankan pada bulan Mac untuk memahami amalan gaya hidup mereka dalam aspek aktiviti fizikal, pemakanan, pengambilan air, tidur dan amalan berisiko seperti menghisap rokok dan vape serta meminum alkohol.

Kempen gaya hidup sihat di FSSK UMS dicadangkan oleh Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kepada Unit Penyelidikan KomunikasiPembangunan (C4D) UMS-UNICEF.
Unit Penyelidikan tersebut menggunakan pendekatan kajian berasaskan buktidan intervensi komunikasi dalam usaha mengubah tingkahlaku ke arah yang lebih positif.
Dekan FSSK UMS Profesor Dr. Asmady Idris berkatapendekatan “keseluruhan negara” atau whole of nation yang ditetapkan oleh ANMS seharusnya diberi sokongan oleh semua pihak.

“Kita berhadapan dengan krisis penyakit tidak berjangkit di Malaysia, termasuk soal berlebihan berat badan.
“Saya berharap kempen yang akan dijalankan di fakulti bolehmenjadi titik tolak pada satu kempen versi UMS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) supaya ia dapat diperluaskan lagi,” katanya ketika menghadiri sesi taklimat mengenai kempengaya sihat itu.
Ketua Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF, Dr. Latif Lai berkata, kajian awal yang melibatkan 360 mahasiswa telah menilai aspek pengetahuan, sikap dan amalan berkait gaya hidup sihat.
Katanya, walaupun secara umum responden memberi jawapan positif untuk kebanyakan soalan, hasil kajian menunjukkan masih terdapat aspek gaya hidup sihat yang perlu ditekankan dari segi pengetahuan, sikap dan amalan.
“Kajian mendapati 70 peratus responden tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang jumlah senaman sederhana yang diperlukan dalam seminggu, dan 77 peratus tidak mengamalkan jumlah masa yang disarankan bagi aktiviti fizikal.
“Kami juga mendapati walaupun tinggi peratusan yang ada pengetahuan tentang Pinggan Sihat Malaysia (suku-suku-separuh), enam dalam 10 responden tidak mengambil makanan mengikut saranan tersebut.
“Selain itu, 90 peratus responden tidak mempunyai pengetahuan yang betul tentang jumlah hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan yang perlu mereka makan dalamse hari dan 77 peratus hanya mengambil satu hingga dua hidangan sehari,” katanya.
Satu lagi indikator dalam kempen yang akan dijalankan selama enam bulan itu akan melihat pada aspek pengetahuan tentang jumlah alkohol yang boleh diambil dalam seminggu oleh lelaki dan perempuan.
Indikator ini hanya akan tertumpupada aspek pengetahuan, dan tidak akan menyentuh tentang sikap dan amalan.
Latif berkata beberapa aktiviti bersemuka dan menerusi media sosial telah dikenalpasti untuk menjayakan kempen tersebut. Kempen tersebut akan dikenali dengan nama FSSK x ANMS.
Turut hadir pada sesi taklimat itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia Razmin Ramli, Ketua Cawangan Promosi Kesihatan JKNS Nor Saadah Omar, Ketua Cawangan Pemakanan JKNS Shahrulnaz Norhazli Nazri dan Pakar Program UNICEF untuk negeri Sabah Dr. Elaine Kong.
Sesi itu turut dihadiri pengurusan kanan FSSK, ketua-ketua program, felo unit penyelidikan dan ketua-ketua pelajar.
Comments