Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Jumaat ini

14 Mac 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka melanda beberapa perairan, termasuk Sabah, bermula Selasa hingga Jumaat depan.
MetMalaysia berkata, angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat serta Labuan bermula pada Rabu.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama ini berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, kenaikan paras air laut berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan serta Sarawak Barat bagi tempoh sama.
Sementara itu, katanya, angin kencang timur laut dan laut bergelora berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di beberapa perairan dijangka bermula pada Selasa.
“Ianya termasuk perairan tenggara Samui, utara Tioman, utara Bunguran, timur Reef North, utara Reef South, Layang-Layang serta barat Palawan.
“Amaran tahap kategori dua ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.
MetMalaysia juga berkata, angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Condore serta barat Reef North dijangka berlaku bagi tempoh sama.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori tiga ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.
Comentarios