Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada di Sabah

18 Mac 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sabah.
Amaran berkenaan dikeluarkan bagi jangkaan tempoh masa selama dua hari bermula Khamis depan.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, hujan berterusan dijangka melanda Kudat, Pantai Barat yang melibatkan Ranau dan Kota Belud, serta Sandakan yang meliputi Telupid, Kinabatangan dan Beluran.
Katanya, cuaca sama turut dijangka berlaku di Pahang termasuk Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor, membabitkan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru bagi tempoh yang sama.
“Cuaca hujan berterusan juga dijangka berlaku di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) serta Bintulu sehingga Khamis ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih di laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia,” katanya
Comments