top of page

AMAZON GLOBAL SELLING SEDIA KHIDMAT KEPADA PENJUAL MALAYSIA UNTUK JUALAN DALAM TALIAN

nabalunews


5 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Amazon Global Selling menyediakan lebih 250 alat, perkhidmatan dan logistik inovatif baharu untuk menyokong kemajuan penjual global di tengah-tengah pandemik COVID-19.


Kedai dalam talian Amazon membolehkan ratusan ribu penjual termasuk dari Malaysia untuk memperkukuh serta meningkatkan jualan mereka di sebalik krisis kesihatan dan cabaran akan datang.


Malaysia mempunyai kelebihan berdaya saing dalam pembuatan dan e-dagang.


“Ramai penjual Malaysia berjaya menguasai aliran perubahan pantas ini, yang mencetuskan pengembangan di peringkat antarabangsa melalui Amazon, terutamanya dalam kategori produk seperti barang kemas, penjagaan diri dan kesihatan dan barangan rumah.


“Berikutan transformasi berterusan ini, kini adalah masanya untuk penjual Malaysia terlibat secara dalam talian bagi mewujudkan kehadiran di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Bersempena transformasi melibatkan penjual Malaysia, Amazon menganjurkan Sidang Kemuncak Penjual Dalam Talian Asia Tenggara 2021 buat julung kalinya untuk Malaysia, selama dua hari bermula semalam.


Sidang kemuncak penjual yang pertama itu, bertemakan “Go Global, Sell on Amazon” diadakan bertujuan menyediakan sokongan pendidikan kepada rakyat Malaysia yang berhasrat menjual di Amazon.


Sokongan ini adalah berdasarkan inisiatif Amazon pada masa ini seperti siri pendidikan penjual dalam talian, Seller University untuk membantu mereka meningkatkan jualan di kedai Amazon di seluruh dunia.


Acara dalam talian yang disertai wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), rakan niaga industri dan penjual dari Malaysia ini menerima lebih 1,000 pendaftaran.


Menteri Kanan merangkap Menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan pembukaan berkata, agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) giat menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar memafaatkan laman web e-dagang untuk menjangkau pengguna di seluruh dunia secara lebih meluas.


“Kami gembira menyaksikan Amazon mengadakan sidang kemuncak penjual maya yang pertama di Malaysia. Acara ini melengkapkan pelbagai usaha kerajaan dalam meningkatkan pendigitalan di seluruh rantaian nilai.


“Kami berharap PKS tempatan akan menggunakan peluang ini dengan mendigitalkan dan mengantarabangsakan keunikan dan kebaikan jenama Malaysia untuk khalayak global,” katanya.


Sementara itu, Ketua Amazon Global Selling di Asia Tenggara, Bernard Tay berkata, melalui sidang kemuncak ini, syarikat itu berharap dapat menyokong penjual Malaysia untuk memanfaatkan potensi mereka dan mempromosikan masa depan produk Malaysia menerusi kedai dalam talian Amazon.


“Kita telah menyaksikan e-dagang rentas sempadan terus berkembang pada tahun lepas. Alat, perkhidmatan dan rangkaian inovatif Amazon di seluruh dunia akan memperkukuhkan PKS tempatan untuk mengharungi halangan beroperasi, memanfaatkan peluang e-dagang rentas sempadan dan mengembangkan kedudukan mereka di peringkat global,” katanya. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page