top of page

Anak Sabah Juara Bergu Petronas National Championships

  • nabalunews
  • 18 minutes ago
  • 2 min read


29 April 2025


KOTA KINABALU: Pemain badminton muda Sabah, Datu Anif Datu Asrah, mencipta kejayaan membanggakan selepas berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Badminton Petronas National Championships Bawah 18 Tahun 2025 yang berlangsung di Perak minggu lalu.


Datu Anif, 17, dengan pasangannya Damien Ling Tang Le berjaya menewaskan pasangan Zi Hin Heng dan Ethan Oh Jun Hui, yang turut mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dengan keputusan 15-6, 15-12 pada perlawanan akhir.


Manakala bagi acara beregu campuran, Anif turut menyerlah apabila bergandingan bersama Dania Sofea dari Johor untuk meraih pingat perak.


Pasangan terbabit memberikan saingan sengit sebelum tewas kepada pasangan BAM, Lo Ziheng dan N. Maisarah Ramdan, dengan keputusan 16-14, 10-15, 14-16 di perlawanan akhir.


Anif, yang berasal dari Sabah dan kini bernaung di bawah BAM, sebelum ini telah menunjukkan potensi besar pada Kejohanan Remaja Asia di Indonesia tahun lalu.


Kejayaannya kali ini membuktikan bahawa gandingannya bersama Damien Ling dan Dania Sofea berada di landasan yang kukuh untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa hadapan.


Sabah juga berjaya meraih satu lagi kejayaan dalam acara beregu lelaki apabila Muhammad Nur Azhar Zunaide, bergandingan dengan Siau Yu Hang dari Johor, membawa pulang pingat gangsa.


Mereka menewaskan pasangan BAM, Isyraf Hafizin Ibrahim dan Ungku Mohamed Ungku Ameer Alif, dengan keputusan 4-15, 15-13, 17-15 di suku akhir, sebelum menarik diri di separuh akhir akibat kecederaan yang dialami Siau Yu Hang.


Selain itu, pemain-pemain muda Sabah lain seperti Shim Hymn Isiah, Saidatul Saadiah, Lim Xe Xuan dan Jing Xuan Chua turut menunjukkan potensi besar dalam kejohanan berkenaan.


Terdahulu, Sabah turut membawa pulang empat pingat gangsa dalam Kejohanan Badminton Junior Elite Tour (JET) 1st Leg di Melaka pada bulan Februari, serta satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam 2nd Leg yang diadakan di Selangor awal bulan ini.


Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA), Datuk Dr. Maijol Mahap, dalam kenyataannya berkata, pencapaian ini amat membanggakan dan membuktikan bahawa pemain-pemain Sabah bukan saja mempunyai bakat dan ketangkasan di gelanggang, malah juga semangat juang yang tinggi.


“SBA kini sedang giat melaksanakan program pembangunan badminton di Sabah dengan tumpuan khusus kepada pemain-pemain yang menyerlah di JET 1, JET 2 dan kejohanan U18.


“Sebahagian daripada mereka akan diserapkan ke Akademi Badminton Sabah yang sedang diwujudkan, manakala sebahagian lagi akan meneruskan latihan di Akademi Badminton Malaysia dan Sekolah Sukan Bukit Jalil,” katanya.


Menurutnya, usaha ini merupakan sebahagian daripada projek besar untuk mengembalikan semula kegemilangan badminton Sabah ke persada kebangsaan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page