top of page
  • nabalunews

Anggota tentera jalani latihan maut ditembak pemburu haram

23 September 2024


KUCHING: Seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit, maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram awal pagi, hari ini.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa yang berpangkat Koperal berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit, pada jam 7.43 pagi tadi.


Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis melancarkan gerakan memburu suspek yang melepaskan tembakan itu.


"Polis menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus, Song itu pada jam 5.57 pagi hari ini.


"Pengadu memaklumkan bahawa seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan terkena tembakan disyaki dilepaskan oleh orang awam yang memburu di kawasan itu.


"Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Kapit namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sementara itu, sumber berkata, ketika kejadian mangsa dari Batalion Ke-3, Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) sedang menjalani latihan Eksesais Pasak Bumi Siri 2/2024.


Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di pinggang dan paha kiri akibat tembakan yang berlaku pada jam 2.45 pagi.


Beliau berkata, bantuan tiba di tempat kejadian pada jam 3.20 pagi dan mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song dan kemudian mangsa dipindahkan pula ke Hospital Kapit pada jam 5.05 pagi.


Menurutnya lagi, ketika dalam perjalanan ke Hospital Kapit, mangsa mengalami muntah darah sebanyak dua kali dan dalam keadaan lemah.


"Sebaik tiba di Hospital Kapit pada jam 5.45 pagi, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi," katanya.


Sementara itu Bernama melaporkan, anggota tentera berkenaan adalah daripada formasi 9 Briged di Sibu dan sedang melaksanakan latihan di kawasan itu dari 21 hingga 29 September ini.


Mengesahkan kejadian itu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan anggota itu sedang melaksanakan latihan melibatkan kawasan am Kanowit–Nanga Dap–Song yang berkekuatan satu kompeni.


Sebelum kejadian, platun yang dianggotai mangsa sedang berehat telah terdengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh pada 2.45 pagi.


"Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan. Curiga dengan tembakan itu, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta-merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan berkenaan," menurut kenyataan itu.


Anggota berkenaan telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi dan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada kira-kira 5 pagi.


Bagaimanapun, anggota terbabit telah disahkan meninggal dunia pukul 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu.


Menurut TDM, pengurusan jasad akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai dan pihak waris mangsa yang berada di Sarikei telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian.


TDM turut menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga mangsa dan mendoakan semoga mereka diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian itu.


Masyarakat juga diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden terbabit bagi memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan, selain untuk menghormati waris dan ahli keluarga.


Terdahulu, Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak ketika dihubungi Bernama berkata anggota tentera yang terbabit dikenal pasti sebagai Petrus Linggi Liman, 29, mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan punggung kiri.


Beliau berkata usaha mengesan suspek yang belum dikenal pasti sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala bedah siasat dijadualkan dilakukan di Hospital Kapit esok.

Comments


bottom of page