top of page
  • nabalunews

Angin kencang, 5 kenderaan ditimpa pokok tumbang, 2 cedera


17 September 2024


KOTA KINABALU: 2 dilaporkan cedera ringan manakala 5 kenderaan mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok tumbang ekoran angin kencang di 3 lokasi berasingan di sekitar Kota Kinabalu, hari ini.


Dalam insiden kira-kira 1 petang tadi berhampiran Jabatan Cetak, Jalan Tuaran Bypass, dua lelaki warga emas berusia 62 tahun cedera ringan selepas pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dinaiki mangsa.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.08 petang tadi.


Katanya sepasukan 6 anggota dari BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer dari balai.


"Pasukan bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai," katanya dalam kenyataan hari ini.


"Terdapat dua orang mangsa terlibat dilaporkan mengalami cedera ringan. Setelah memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang," katanya.


Bomba Kota Kinabalu sekali lagi menerima panggilan kecemasan jam 4.10 petang tadi memaklumkan 3 kenderaan jenis Produa Viva, Produa Myvi dan Proton Saga FLX ditimpa pokok tumbang di Jalan Yu Sang, Kepayan.


Sepasukan 6 anggota dari BBP Kota Kinabalu bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai.


Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi bomba ditamatkan jam 5.07 petang.


Sebelum itu, BBP Lintas menerima panggilan kecemasan jam 8.54 pagi berhubung sebuah kenderaan jenis Proton Satria ditimpa pokok tumbang berhampiran stesen minyak Petronas Likas.


Pokok berkenaan berjaya dialihkan oleh sepasukan 10 anggota bomba dari BBP Lintas menggunakan gergaji berantai.


Seorang mangsa di dalam kenderaan itu dilaporkan selamat.


Setelah memastikan keadaan selamat operasi bomba ditamatkan pada jam 9.18 pagi tadi.


Untuk rekod, Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 20 panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang dalam tempoh 24 jam di seluruh negeri Sabah bermula seawal jam 8 pagi semalam sehingga jam 11 pagi tadim


Ia melibatkan daerah Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kudat, Tenom Sook dan Tawau.


Sehubungan itu bomba meminta orang ramai untuk sentiasa berhati-hati semasa berada di luar rumah dan sentiasa mengawasi ahli keluarga ketika keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Comments


bottom of page