top of page

Angkat jenama tempatan dorong usahawan buka perniagaan pakaian sukan

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 3 min read


24 April 2025


KOTA KINABALU: Bermula dari semangat untuk mengangkat jenama tempatan Sabah ke persada dunia, seorang pemuda mampu menempa nama sebagai usahawan berjaya dalam industri pakaian sukan negara.


Usahawan pengasas jenama Sharp Rhinos, Iranmal Kasan,38, berkata ilham memulakan perniagaan tercetus daripada semangat untuk melihat jenama tempatan berdiri setanding jenama antarabangsa.


Katanya, ia ditambah lagi dengan minat mendalamnya tehadap rekaan fesyen yang berkonsepkan sukan.



“Memulakan perniagaan pada tahun 2021, saya memilih untuk fokus kepada penghasilan jersi sublimation yang bukan sekadar pakaian, tetapi lambang semangat, identiti, dan simbol sesebuah pasukan.


“Sharp Rhinos diasaskan untuk memberi semangat, gaya, dan keyakinan kepada para atlet, peminat sukan, kelab sosial, pencinta fesyen streetwear sukan dan komuniti yang bangga dengan identiti mereka.


“Setiap helaian jersi ada cerita dan kekuatan dan sukan pula adalah bahasa universal yang mampu menyatukan semua golongan,” katanya kepada Nabalu News, baru-baru ini.



Pemegang enam rekod dalam Malaysia Book of Records dalam kategori Timang Bolasepak itu berkata, keunikan produk jersinya terletak pada identiti tersendiri iaitu Stripes atau Belang yang diinspirasikan dari belang harimau Borneo.


“Motif belang yang melambangkan semangat juang ini menjadi identiti utama jenama kami, dikenali sebagai Sharp Rhino Stripes.


“Ia juga mempunyai nilai sentimental tersendiri dimana saya memakai jersi bercorak ini ketika mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records,” katanya.


Namun usahawan berasal dari Kg Pengaraban, Kudat itu, berkata rekaannya bukan saja tertumpu kepada motif belang semata-mata malah turut diinspirasikan oleh budaya tempatan Sabah dan elemen alam semula jadi.


Selain daripada rangkaian jersi yang ditawarkan, Iranmal turut menerima tempahan khas daripada pelbagai pelanggan, termasuk pasukan sukan sekolah, kelab komuniti, dan pasukan sukan professional.


Sementara itu, ketika ditanya mengenai modal memulakan perniagaan, Iranmal berkata dia melaburkan setiap sen wang simpanannya disamping sokongan kewangan daripada keluarga untuk membuka premis di Keningau.


Kini, premis yang bertempat di Keningau Mall itu menjadi pusat operasi dan nadi pertumbuhan perniagaan Sharp Rhinos dengan kekuatan tenaga empat pekerja mahir pelbagai bidang serta mempunyai mesin cetakan termasuk mesin heat press dan mesin sublimation.


“Walaupun beroperasi di bandar kecil, kami mampu mendapat sambutan hangat bukan sahaja dari penduduk tempatan tetapi juga dari luar daerah yang mengenali jenama ini melalui media sosial,” katanya.


Bagi memperluas operasi dan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Iranamal kini sedang dalam proses mendapatkan pembiayaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).


Dari segi pemasaran, selain daripada jualan langsung di ruang premis, Iranmal juga kerap menyertai program belia dan sukan komuniti serta turut menaja jersi kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memberinya peluang keemasan untuk mempromosikan jenamanya.


Selain itu, usahawan itu juga memanfaatkan tren pemasaran digital sepenuhnya melalui platform TikTok Shop, Instagram dan Facebook, serta sedang mengembangkan capaian menerusi Shopee dan YouTube Shorts.


Setakat ini, katanya, TikTok Shop Live Hub merupakan platform paling efektif dari segi engagement dan jualan, selain memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesedaran jenama.


“Di premis fizikal, pelanggan datang ke kedai. Tapi di TikTok, kita yang pergi kepada pelanggan dan kita boleh capai ribuan orang dalam satu sesi live sahaja.


“Semenjak menyertai TikTok Shop Live Hub, jualan kami meningkat secara drastik. Ia juga membuka peluang kepada pelanggan dari seluruh negara untuk mengenali jenama Sharp Rhinos,” jelasnya.


Iranmal mengakui, perniagaan bukanlah suatu bidang yang mudah sebaliknya memerlukan kesabaran tinggi serta usaha berterusan tanpa mudah berputus asa.


“Cabaran paling besar ialah membina kepercayaan dan meyakinkan pelanggan bahawa kualiti produk tempatan standing jenama terkemuka. Ia memerlukan masa dan usaha berterusan untuk mengubah persepsi itu.


“Tapi alhamdulillah, kepercayaan itu hadir sedikit demi sedikit hasil kerja keras serta perkhidmatan yang konsisten. Testimoni daripada pelanggan yang berpuas hati turut membantu mengukuhkan keyakinan pengguna,” ujarnya.


Melihat ke hadapan, Iranmal mempunyai rancangan untuk membuka lebih banyak cawangan dan menambah kepelbagaian produk dengan melancarkan koleksi khas Harimau Borneo iaitu Sharp Rhinos dan Tiger Stripes.


Usahawan itu berharap jenama Sharp Rhinos terus mendapat permintaan serta menembusi pasaran luar negara antaranya Brunei, Singapura dan Indonesia, sekali gus mengangkat nama Sabah ke peringkat global.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page