top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar beri jaminan selesaikan aduan rakyat Sabah, Sarawak yang disampaikan kepada Agong



17 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk menyelesaikan secara tuntas semua aduan rakyat Sabah dan Sarawak yang disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa program Kembara Kenali Borneo.


Beliau berkata, beliau terpaksa memikul beban yang tebal kerana Yang di-Pertuan Agong telah menyerahkan sendiri semua surat-surat yang dihantar terus kepada baginda.


"Saya selaku Perdana Menteri terbeban dari lawatan itu (Kembara Kenali Borneo) kerana Baginda berikan semua surat-surat yang dihantar terus kepada baginda Tuanku.


“Begitulah kasih rakyat dan dan saya terpaksa pikul beban yang tebal dan saya nak berikan jaminan... Insya-Allah saya akan arahkan seluruh jentera teliti setiap surat dan akan kita cuba selesaikan sebaiknya," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.


Anwar juga berkongsi penghargaan Yang di-Pertuan Agong yang sangat terkesan dengan sambutan rakyat di Sabah dan Sarawak.


"Baginda masih sangat terkesan, bicara dengan penuh perasaan, bergelinang air mata kerana terpegun dengan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat kepada baginda berdua," katanya.


Kembara Kenali Borneo adalah program yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak. Program itu berlangsung selama 11 hari dan melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo.

Comments


bottom of page