top of page
Farah Salim

Anwar mahu kerajaan tangani ketirisan subsidi minyak lebih telus: Anwar


17 November 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan lebih telus dalam menangani isu ketirisan subsidi minyak dengan memastikan setiap maklumat berkaitan kebocoran dan pengagihan kontrak syarikat yang mengagihkan dirangkum dalam Laporan Audit Negara.


Beliau berkata, ini kerana berdasarkan kajian laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, ketirisan subsidi minyak sangat besar dan tindakan yang diambil kurang berkesan


“Saya tertarik dengan jawapan Menteri (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) kerana mengambil langkah mengadakan kajian mengoptimakan keberkesanan mekanisme.


“Kalau kita lihat kajian Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, ketirisan subsidi minyak ini besar sekali dan tindakan yang diambil itu tidak berkesan.


“Ada dua masalah yang sudah sedia maklum iaitu cara pengagihan kontrak kepada syarikat-syarikat yang mengambil keuntungan dan membocorkan. Keduanya, menyerahkan subsidi itu kepada golongan yang tidak layak sepertimana yang juga berlaku di Sabah dan Sarawak dan juga subsidi minyak kepada nelayan di sini,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian selepas bangun mencelah dalam sesi menjawab pertanyaan-pertanyaan menteri iaitu sesi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.


Anwar berkata, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa pengagihan ini harus lebih telus.


“Saya ingin mendapat jaminan daripada menteri, sebelum mekanisma ini ditetapkan, jaminan bahawa pengagihan ini harus lebih telus dan dewan harus dimaklum apa kaedahnya, siapa memperlehi dan memaklumkan setiap tahun laporan ketua audit negara ini yang menyebut secara khusus kebocoran itu supaya dapat dielakkan,” katanya.


Ketika menjawab soalan itu, Alexander berkata, pihak kementerian sedia mempertimbangkan untuk melaksanakan kajian.


“Saya terima pandangan itu dengan keterbukaan kerana itu adalah satu nilai konstruktif yang boleh digunakan kelak. Kalau berkata berkenaan ketirisan, kita akui ada pelbagai bentuk ketirisan mungkin menerusi pelaksanaan dan pengagihan kontrak yang terdahulu.


“Namun, saya tidak ada pernah jalankan sebarang pengagihan kerana masa saya, semua kuota sudah habis. Jadi kita akan tengok kepada itu juga.


“Sekarang, kita ada 19 kes yang kita kesan dan kita jalankan siasatan. Ada juga daripada 19 kes ini yang kita hadapkan ke mahkamah. Itu menunjukkan penguatkuasaan KPDNHEP ini serius dan sebaik-baiknya,” katanya.


Beliau berkata KPDNHEP menjalankan tugas sebaiknya dan akan membuat penambahbaikan pada masa akan datang bagi memastikan mereka yang tidak layak mengendalikan perniagaan ini tidak mendapat dan mereka yang tidak layak akan ditolak permohonan.

Comments


bottom of page