Anwar tolak elaun RM24,653 salur ke tabung rakyat miskin

16 Oktober 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak kemudahan penuh yang ditawarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti seorang menteri termasuk elaun dan bayaran khas sebanyak RM24,653.
Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, beliau sebaliknya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.
Butiran-butiran itu RM 12,320.00 sebulan untuk elaun keraian, RM 1,500.00 sebulan untuk bayaran khas, RM4,000.00 sebulan untuk elaun rumah, RM 833.00 sebulan untuk elaun selenggara rumah, RM3,000.00 sebulan untuk elaun pakaian panas, RM1500.00 sebulan untuk elaun pakaian upacara rasmi dan RM 1500.00 sebulan untuk elaun bayaran pakaian ‘black tie’ serta sebuah kereta rasmi dan penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi
“Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali. Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anwar turut menegaskan kepada pihak Parlimen yang menyediakan pejabatnya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.
“Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.
“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala,” katanya.
Anwar berkata, aspek semak dan imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi.
Comentarios