Anwar umum Kejiranan Madani untuk golongan M40, B40 dan rentan miskin
- Wartawan Nabalu News
- Jun 24, 2023
- 2 min read

24 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membangunkan Kejiranan Madani di ibu negara untuk menempatkan golongan M40, B40 dan rentan miskin dalam satu kawasan kejiranan yang harmonis dan lengkap dengan kemudahan asas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan ini pada Sesi Temu Mesra bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Kuala Lumpur di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Metropolitan Kepong, baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan tiga jenis residensi dengan harga berpatutan untuk golongan berpendapatan berbeza.
"Untuk golongan M40 berpendapatan bulanan RM7,000 ke bawah, kerajaan akan membangunkan Residensi Prihatin Madani yang berkeluasan 800 kaki persegi serta kemudahan seperti tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga RM200,000 seunit.
"Yang kedua B40 (pendapatan) RM5,000 ke bawah, Residensi Madani. Sama juga tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu tempat letak kenderaan. RM180,000 ke bawah.
"Ketiga untuk berpendapatan RM4,000 ke bawah. Ramai di Wilayah Persekutuan ini. Ini khas untuk golongan belia, yang bujang atau pasangan baru berkahwin berumur 30 tahun ke bawah, ia dikenali sebagai Residensi Sejahtera Madani.
"Sama juga tiga bilik tidur, dua bilik air dan tempat letak kereta. Kos dia RM150,000 ke bawah. Ini kemudahan untuk golongan belia," katanya.
Selain itu, Anwar juga berkata, kerajaan akan menawarkan konsep sewaan di bawah Rumah Majlis Madani dan Rumah Ihsan Madani bagi golongan yang tidak mampu membeli rumah.
"Rumah Majlis Madani Perumahan ini disasarkan kepada golongan M40 dan B40 yang tidak mampu memiliki rumah. Kadar sewa yang akan dikenakan adalah sebanyak RM600 sebulan untuk lima tahun sewaan.
"Rumah Ihsan Madani pula disasarkan kepada B40 dan rentan miskin berpendapatan RM2,500 ke bawah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kadar sewa yang ditetapkan ialah RM300 sebulan," jelasnya.
Beliau menambah, selepas tamat tempoh sewaan selama lima tahun tersebut, penghuni perlu mengosongkan rumah berkenaan supaya ia dapat diberikan kepada individu lain.
Anwar berkata, Kejiranan Madani Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat terutamanya di ibu negara yang menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
Comments