Apakah KBS bercadang anjur klinik asas renang percuma tangani insiden mati lemas, soal Madius
- nabalunews
- Mar 7
- 2 min read

7 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Susulan insiden mati lemas yang kian membimbangkan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan persoalan berkaitan isu tersebut pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat.
Beliau meminta penjelasan terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekiranya mempunyai sebarang langkah-langkah bagi membendung kejadian itu daripada terus meningkat.
“Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan pada penghujung tahun lalu.
“Sehubungan itu, apakah KBS mempunyai cadangan untuk mengadakan klinik asas berenang secara percuma di negara ini termasuk di Sabah khususnya di Tuaran bagi mengelakkan kejadian tersebut daripada terus meningkat,” kata Madius dalam sesi Soalan Bukan Lisan (Bertulis), di sini.
KBS dalam jawapan bertulis memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah memperkenalkan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) bermula pada tahun 2023 di beberapa daerah terpilih yang mempunyai fasiliti kolam renang.
Menurut kementerian itu, program tersebut bagi menangani kes kematian lemas yang sering dilaporkan melibatkan orang awam, terutamanya golongan kanak – kanak dan warga emas.
“Selain itu, program ini memberi ruang dan peluang kepada golongan B40 yang tidak berkemampuan untuk mempelajari teknik dan kaedah yang betul serta selamat untuk berenang.
“Pada tahun 2023, program KLAS Renang ini telah dilaksanakan di 144 lokasi dengan penyertaan seramai 6,847 orang peserta manakala bagi tahun 2024, KBS telah melaksanakan program ini di 222 lokasi di seluruh negara dengan sasaran penyertaan seramai 8,880 orang peserta,” jelas KBS.
Mengulas lanjut, kementerian itu menyatakan komitmen akan meneruskan pelaksanaan program KLAS Renang di negeri Sabah pada tahun 2025 di 19 lokasi merangkumi 17 lokasi kanak-kanak B40, satu lokasi kanak - kanak kurang upaya (OKU) dan satu lokasi Warga Emas.
“Program KLAS Renang bagi bahagian Pantai Barat Wilayah Sabah yang merangkumi daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Penampang, Papar, Ranau, Putatan dan Tuaran, hanya akan dilaksanakan di Kota Kinabalu.
“Ia disebabkan oleh akses dan fasiliti kolam renang yang terhad di kawasan luar bandar.
“Sebanyak lima program yang akan diadakan di bahagian ini melibatkan kategori kanak – kanak B40,” jelas KBS lagi.
Untuk rekod, Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad dalam laporan media tahun lalu telah menyuarakan kebimbangan terhadap kes kematian akibat lemas yang menunjukkan jumlah sebanyak 287 setakat Disember tahun 2024.
Kommentare