Apakah projek yang siap dan gagal siap dalam Belanjawan 2024 di Sabah, soal Madius kepada JPM

26 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) terus lantang membawakan suara rakyat dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 6 Mac depan.
Terbaru, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu meminta penjelasan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung status projek-projek yang diluluskan dalam Belanjawan 2024.
“Daripada RM6.6 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah yang telah diluluskan, senaraikan projek-projek yang sudah siap, gagal dan sedang disiapkan.
“Berikan juga senarai Kementerian yang terlibat dalam projek sudah siap, gagal dan sedang dilaksanakan tersebut,” katanya dalam sesi Soalan Lisan di sini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dalam satu Jawapan Bertulis memaklumkan, sebanyak 783 jumlah program atau projek disenaraikan bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Tahun 2024 di Sabah.
Menurutnya, sehingga 27 Januari 2025, berdasarkan maklumat yang dijana daripada Sistem MyProjek, sebanyak 318 projek sudah siap (pasca pelaksanaan), manakala baki 465 yang lain masih pada status sedang disiapkan (dalam pelaksanaan).
Ahli Parlimen Sekijang itu turut menyenaraikan jumlah dan status projek yang diluluskan mengikut statistik melibatkan 22 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Projek yang diluluskan di bawah Kementerian Pendidikan disenaraikan yang tertinggi iaitu sebanyak 240 projek. Namun hanya 94 projek yang berada pada status pasca pelaksanaan, manakala 146 masih status dalam pelaksanaan.
Jumlah kedua tertinggi adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan 199 projek. 89 daripadanya mencapai status pasca pelaksanaan manakala 110 lagi masih status dalam pelaksanaan.
Tiga kementerian yang sering menjadi tumpuan di Sabah iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Kerja Raya (KKR); dan Kementerian Ekonomi turut tersenarai dalam statistik.
PETRA dengan 65 projek diluluskan menyaksikan terdapat 16 pada status pasca pelaksanaan dan 49 dalam pelaksanaan.
KKR pula dengan sebanyak 27 projek, pasca pelaksanaan (4), dalam pelaksanaan (23); dan Kementerian Ekonomi dengan 14 projek, pasca pelaksanaan (5), dalam pelaksanaan (9).
Statistik itu turut memperlihatkan sebanyak tiga kementerian mencatatkan jumlah projek yang diluluskan pada status sudah siap.
Kementerian tersebut ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan empat projek; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (dua projek); dan Kementerian Perpaduan Negara (satu projek).
Bagi JPM, terdapat 19 projek diluluskan dengan tujuh daripadanya sudah siap, dan 12 sedang disiapkan.
Projek-projek lain adalah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (10 projek); Kementerian Dalam Negeri (26); Kementerian Kesihatan (33); Kementerian Komunikasi (2); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (1); Kementerian Pendidikan Tinggi (16); dan Kementerian Pengangkutan (3).
Turut tersenarai dalam statistik projek yang diluluskan dalam Belanjawan 2024 di Sabah ialah Kementerian Perladangan dan Komoditi (7 projek); Kementerian Pertahanan (16); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (37); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (30); Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (25); dan Kementerian Sumber Manusia (6).
Commentaires