APM Sandakan bantu alihkan pokok tumbang menghalang laluan pejalan kaki dan kenderaan di Sandakan
31 Disember 2024
SANDAKAN: Satu kejadian pokok tumbang lalu menghalang laluan pejalan kaki dan kenderaan dilapor berlaku di Kampung Lee Cung Sang, Jalan Cecily, Sandakan pada pagi tadi (Selasa).
Pengadu yang terlihat kejadian itu kemudian membuat laporan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan untuk bantuan selanjutnya.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sandakan, Kapt.Pertahanan Awam, Sulaiman Salama, berkata, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 7.10 pagi daripada pengadu yang juga orang awam untuk bantuan memotong dan mengalihkan pokok tersebut.
"Selepas laporan diterima, kita kemudian menghantar 5 anggota APM Sandakan ke lokasi yang dilaporkan," jelasnya dalam satu kenyataan di Sandakan pada Selasa.
Tambahnya, kerja-kerja berkenaan siap pada jam 8.25 pagi dimana sebelum itu, 5 penghuni sebuah rumah turut terjejas kerana tidak dapat melalui jalan itu sebelum bantuan berkenaan tiba.
Dalam perkembangan laporan pemantauan banjir di daerah ini, susulan hujan lebat pada malam semalam (Isnin) Sulaiman berkata, pihaknya juga membuat pemantauan di kawasan yang dikenalpasti berisiko banjir selain memantau paras air sungai berdekatan serta keadaan penduduk yang tinggal di kawasan atas air di Sandakan.
Comentarios